Alhamdulillah, tahniah kepada Noe Letto yang telah memeluk Islam setelah sekian lamanya.
Tak ada sesiapa pun sangka vokalis kumpulan Letto yang terkenal pada suatu ketika dahulu terbuka hatinya untuk memeluk agama Islam.
Menerusi perkongsiannya di YouTube, Noe mengaku dirinya menjadi seorang atheist sebelum ini disebabkan oleh beberapa keadaan.
Nak tahu lebih lanjut mengenai cerita penghijrahannya, baca cerita di bawah ini.
Tak pernah mempercayai Tuhan
Menurut Noe, dia memiliki cara pemikiran yang kritis dan sering menggunakan logik akal apabila mempelajari mengenai agama.
Ketika mahu mendalami soal agama, dia sering berasa susah dan sukar sehingga hilang kepercayaan terhadap kewujudan Tuhan.
“Secara kebetulan dalam agama, saya tidak dapat lari daripada perkara asas yang diberikan oleh Tuhan. Saya sentiasa berasa ingin tahu dan sebagainya.
Salah satu perkara paling melampau yang pernah saya lakukan adalah menjadi seorang atheist dalam keadaan sedar.”
Pada masa yang sama, Noe juga mengatakan dia pernah menafsirkan kalimat syahadah itu sebagai sebuah kesaksian semata-mata dan bukannya timbul dari hati.
Akhirnya, dia mengalami kesukaran ketika berada di Kanada untuk mencari kebenaran mengenai agama Islam.

Ambil keputusan untuk menjadi seorang atheist
“Melalui pemikiran logik yang ada, saya memilih untuk menjadi atheist dalam keadaan sedar. Ketika itu saya hanya memiliki barang kepunyaan saya sahaja. Ada perbezaan semuanya itu.
Jam tangan, gelang, telefon bimbit itu milik saya, kerana saya peroleh dengan usaha sendiri. Tetapi kalau diri saya sendiri itu milik Tuhan kerana Dia yang menciptakan saya.”
Kemudian Noe melihat semula dirinya. Dia merasakan apa yang berada di dalam dirinya itu bukan hak miliknya. Lain pula dengan daging dan akal kerana ia merupakan perkara yang dia usahakan.
Melihatkan ‘hak pemilikan’ seperti itu, Noe mula bertanya pada diri sendiri sama ada dirinya betul mengucapkan syahadah atau bukan.
“Saya bertanya pada diri kembali adakah syahadah itu milik saya atau tidak. Jika ya, saya tidak pernah ‘mengambil’ syahadah kerana saya tidak memperolehi akidah tersebut.
Saya mula reset semua perkara iaitu saya bukan sesiapa, saya tidak tahu apa, sama ada saya mahu masuk Islam atau tidak pun saya tidak tahu hal itu.”
Ketika itu, Noe telah menjadi seorang gelandangan di Kanada dalam jangka masa yang lama. Sehinggakan dia tidak mempunyai sebarang duit untuk membeli makanan.
Cuba mempelajari tentang agama
“Disebabkan oleh pemikiran utilitarian (memaksimumkan kebahagian dan kurangkan penderitaan) untuk bertahan hidup, saya tidak berhenti di masjid yang berdekatan.”
Tetapi disebabkan oleh tengah mencari dan mempunyai pelbagai persoalan mengenai Tuhan dan agama, Noe membuat keputusan untuk tinggal di masjid walaupun tidak berniat untuk mempelajari Islam.
Menurut Noe, dia bukan hanya diminta untuk tinggal di masjid itu oleh seorang sheikh. Tetapi dia perlu menjaga dan membersihkan masjid ketika berada di situ.
Melalui perbuatan tersebut, dia mendapat kesempatan untuk belajar agama dengan pemimpin agama dan sheikh yang berdakwah di masjid.
“Saya sering mendengar ceramah para sheikh di masjid. Pada ketika itu saya cuba untuk menyelaraskan pengetahuan sama dengan agama.
Bagi menghubungkan data, saya agak pandai dalam hal itu kerana saya pernah belajar Fizik dan Matematik. Jadi saya sangat berdisplin dalam hal berkaitan data.”
Disebabkan oleh satu persoalan, hati terbuka untuk memeluk Islam
Terlalu lama berada di masjid membuatkan Noe mempunyai peluang untuk berbincang secara langsung dengan sheikh. Dia mengutarakan beberapa soalan mengenai Tuhan dan cara syaitan membiak.
“Jika syaitan membiak dan mempunyai anak, adakah anaknya akan masuk ke neraka sekiranya melakukan sebarang dosa?
Dia kemudiannya mengatakan jika Tuhan memasukkan anak syaitan ke dalam syurga, ia bermaksud pernyataan mengenai syaitan selama ini adalah salah. Dan jika sebaliknya, Tuhan bersikap tidak adil.
Selepas mendengar persoalan daripada Noe, sheikh tersebut bertanya bagaimana dia tahu bahawa syaitan membiak. Noe mengatakan dia hanya menganggap bahawa syaitan dilahirkan seperti manusia.
Tetapi sheikh memberi pandangan berbeza iaitu bagaimana jika syaitan membiak dengan dengan membelah-belahkan dirinya sendiri.
“Dengar sahaja sheikh mengatakan itu, saya berfikir ‘jadi makhluk baru itu melakukan dosa seperti yang sebelum in’. Memang terus tersedar saya mengenainya.”
Jawapan yang diberikan oleh sheikh itu telah membuka fikirannya dan membuatkan Noe sedar bahawa dirinya mempunyai pengetahuan yang terhad dalam agama Islam.
