Al-Quran adalah kitab suci yang mengandungi segala ilmu dan petunjuk yang menjadi pembimbing kepada setiap insan ke jalan yang benar. Setiap saat dan ketika al-quran hendaklah dijadikan teman rapat tidak kira siang atau malam, tempat rujukan yang memandu diri ke jalan yang lurus.
Sekiranya kita menjauhkan diri daripada berdamping dengan al-Quran dibimbangi syaitan akan mengambil kesempatan mempengaruhi setiap tindakan yang kita lakukan pada masa hadapan.
Jadikan al-Quran sebagai teman sejati
Allah SWT melalui firman-Nya dalam al-Quran bermaksud:
“Sesiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Quran), kami adakan baginya Syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.”
(Surah al-Zukruf, ayat 36)
Dalam kesibukan mengejar duniawi, kita perlu memperuntukkan sebahagian masa berdamping dengan al-Quran. Segala hal-hal keduniaan yang kita kejar, mencari harta benda, membina keluarga dan kerjaya pada akhirnya hasilnya berbalik semula kepada ketentuan Allah SWT.
Kita lupa fitrah kejadian kita di dunia sebagai khalifah adalah untuk taat dan menyembah Allah SWT. Kita perlu berusaha untuk menjadikan al-Quran teman sejati. Caranya setiap hari anda lazimkan membaca sebaris ayat al-Quran bermula dari Surah al-Baqarah setiap kali selepas solat fardu.
Anda boleh menambah jumlah ayat dari sehari ke sehari. Sekiranya kekangan di tempat kerja, bacalah al-Quran pada waktu tahajud, subuh dan maghrib. Setiap pagi sewaktu ke tempat kerja, anda ubah pendekatan daripada mendengar muzik dan gossip kepada mendengar ayat-ayat suci al-Quran.
Ia bukan sahaja menghiburkan perasaan yang gundah, menenangkan jiwa tetapi juga melunakkan hati yang keras. Ayat Quran boleh menjadi penenang, penyubur dan sumber kekuatan dalam mendepani kehidupan yang penuh cabaran. Muat turun aplikasi al-Quran di telefon pintar anda.
Muat turun aplikasi al-Quran dalam telefon
Ia bertujuan memudahkan anda membacanya di mana-mana sahaja walaupun semasa menaiki kenderaan atau menunggu seseorang di restoran. Anda juga boleh membawa mini mushaf al-Quran di dalam beg. Namun, pastikan anda tidak mengabaikan adab ketika membaca al-Quran.
Sekiranya anda mempunyai anak, muat turun aplikasi al-Quran dalam telefon mereka. Manfaatkan teknologi pintar untuk membantu anak mengulang kaji bacaan al-Quran, mengenal tanda tajwid dan kepelbagaian fungsinya untuk menarik minat mereka mendekati dan mengamalkan ajaran kitab suci al-Quran.
Hari ini ramai guru mengaji yang mengajar al-Quran secara langsung di akaun media sosial. Anda perlu mengambil kesempatan ini dan ‘like page’ untuk mendapat pemberitahuan setiap kali mereka bersiaran langsung. Terima kasih kepada mereka yang cekal dan istiqamah mengajar tanpa mengharapkan bayaran.
Bagi yang masih merangkak untuk mengaji al-Quran, carilah guru dan mula belajar. Percayalah bukan anda sahaja yang tidak lancar membaca al-Quran. Sekiranya anda boleh membaca al-Quran, cari guru untuk membaiki tajwid dan taranum.
Akhirnya tanpa sedar kita sudah berada dalam lingkungan mereka yang dekat dengan al-Quran. Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.”
(Hadis riwayat al-Bukhari, 5534 dan Muslim, 2628)