1. Lepas solat jumaat semalam, saya ternampak seorang warga asing. Dengan pakaian yang lusuh, beliau berhenti di hadapan tabung masjid lalu mengeluarkan wang sepuluh ringgit dari walletnya dan disedekahkan ke tabung itu. Terharu pula rasa diri ini melihatkan penampilan dirinya yang serba sederhana namun beliau tidak lokek untuk menyumbang RM10 ke tabung masjid.
2. Melihat insiden ini, teringat saya akan kisah Abu Dahdah. al-Imam Ibn Kathir menukilkan kisah beliau di dalam tafsirnya berkenaan tentang ayat bersedekah. Allah berfirman:
مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً ۚ
Barangsiapa yang memberikan pinjaman (sumbangan) kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) maka Allah akan melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? (al-Baqarah: 245)
3. Menurut al-Imam Ibn Kathir, ketika ayat ini diturunkan, seorang sahabat Nabi bernama Abu Dahdah bertanya kepada Baginda: Apakah Allah memerlukan sumbangan untuk diberikan ke jalan Allah? Rasulullah berkata: “Ya”, Abu Dahdah lalu berkata:
أَرِنِي يَدَكَ ، فَنَاوَلَهُ يَدَهُ إِنِّي قَدْ أَقْرَضْتُ رَبِّي حَائِطِي ، وَفِي حَائِطِي سِتَّمِائَةٍ نَخْلَةٍ
“Hulurkan tanganmu wahai Rasulullah. Abu Dahdah lalu memegang tangan Rasulullah dan berkata: Sesungguhnya aku menyumbangkan seluruh kebunku. Di dalamnya terdapat 600 batang pokok tamar.” (HR Muslim).
4. Ketika syahid di dalam perang Uhud, Rasulullah mengiringi jenazah Abu Dahdah lalu berkata:
كم مِن عِذْقٍ مُدَلًّى لأبي الدَّحداحِ في الجنَّة
“Berapa banyak tangkai-tangkai tamar yang bergantungan di syurga untuk Abu Dahdah.” (HR Ahmad).
5. Tuan-Puan yang dirahmati Allah. Sesungguhnya sedeqah yang ikhlas tidak akan pernah mengurangkan harta kita. Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik. Firman Allah:
وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
“Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki”. (Surah Saba:39)
6. Adakalanya wang yang kita simpan di dalam wallet itu, kita tidak tahu ke mana ia akan pergi. Barangkali ia akan habis digunakan untuk membayar tayar kereta kita yang bocor, adakalanya kita gunakannya untuk membayar ubat anak yang sakit.
7. Menyumbangkan sedikit jumlah dari wang di dalam wallet itu akan mengembangkan keberkatannya dari pelabagai aspek. Barangkali Allah akan gantikannya dengan kesihatan yang tidak ternilai, adakalanya Allah gantikan dengan kesejahteraan hidup. Sabda Rasulullah:
مَا نَقَصَ مَالُ عَبدٍ مِن صَدَقَةٍ
“Tidak berkurang harta hamba yang bersedekah” (HR al-Tirmizi).
Semoga Allah mengurniakan kepada kita kekuatan untuk bersedekah.