Dengan perkembangan teknologi, masyarakat kini mempunyai pelbagai pilihan untuk menentukan gaya hidup, termasuk cara memasak. Sejak beberapa tahun lepas, penggoreng kering atau ‘Air-fryer’ semakin terkenal sebagai satu alternatif untuk mengurangkan penggunaan minyak dalam masakan.
Kebanyakan rumah hari ini ada memiliki sebuah air-fryer. Tetapi, sejauh manakah kebaikan menggunakan penggoreng kering, dan adakah terdapat sebarang kekurangan atau risiko penggunaannya? Artikel ini akan membincangkannya.
Bagaimana Air Fryer (penggoreng kering) berfungsi?
Secara asasnya, penggoreng kering digunakan untuk menggoreng makanan dengan cara perolakan udara panas. Perolakan udara akan menghasilkan tekstur makanan yang rangup, sama seperti digoreng. Penyelidik menyatakan bahawa penggoreng kering menggunakan udara panas yang mengandungi titisan halus minyak untuk mengeluarkan air daripada makanan. Hasilnya akan menjadi sama seperti makanan yang digoreng tetapi rendah kandungan lemak.
Selain itu, satu proses yang digelar tindak balas Maillard juga akan berlaku, lalu menjadikan makanan tersebut berwarna keperangan.
Berbanding menggunakan minyak yang banyak seperti dalam kaedah menggoreng celur (deep fry), penggoreng kering hanya memerlukan satu sudu makan minyak bagi memberi rasa dan tekstur yang serupa. Berikut merupakan beberapa kelebihan menggunakan penggoreng kering:
1. Mengurangkan kandungan lemak
Menggunakan penggoreng kering sememangnya membantu untuk mengehadkan pengambilan lemak, kerana ia tidak memerlukan banyak minyak masak seperti kebiasaannya. Kaedah goreng celur memberi kandungan lemak yang paling banyak kepada makanan berbanding kaedah memasak yang lain. Contohnya, seketul ayam yang digoreng mengandungi kira-kira 30% kandungan lemak lebih tinggi berbanding jika dipanggang.
Jika digoreng celur, minyak yang diperlukan boleh mencapai sehingga 750 ml (3 cawan). Sebaliknya, menggoreng kering hanya memerlukan satu sudu makan minyak (15 ml). Kandungan lemak berkurang, tetapi warna dan kandungan lembapan masih sama.
Kebaikan ini dapat mengurangkan risiko seperti penyakit jantung dan keradangan, kerana minyak masak merupakan satu contoh lemak tepu yang mengakibatkan kenaikan kolesterol sekiranya diambil secara berlebihan.
2. Membantu penurunan berat badan
Makanan yang digoreng celur mengandungi lebih banyak kandungan lemak, jadi kandungan kalori turut menjadi tinggi. 1 gram lemak membekalkan 9 kcal. Pengambilan kalori melebihi keperluan pula akan menyebabkan berat badan meningkat.
Penggunaan penggoreng kering yang mengehadkan minyak akan menjadikan makanan tersebut lebih rendah kalori. Ini membantu mereka yang berlebihan berat badan untuk mengurangkan pengambilan kalori dan mencapai berat badan ideal.
3. Mengurangkan pembentukan bahan berbahaya
Selain tinggi kandungan lemak dan kalori, kaedah menggoreng makanan juga berisiko menghasilkan komponen berbahaya seperti akrilamida. Ia adalah sejenis komponen yang terhasil apabila karbohidrat dimasak menggunakan haba tinggi seperti ketika digoreng.
Menurut Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa, akrilamida mungkin diklasifikasi sebagai karsinogen, kerana ada sesetengah kajian menunjukkan akrilamida mempunyai hubungan dengan pembentukan kanser.
Di samping itu, ada kajian yang menunjukkan bahawa penggoreng kering dapat mengurangkan pembentukan akrilamida sehingga 90%. Namun begitu, bahan kimia berbahaya yang lain seperti aldehid dan polycyclic aromatic hydrocarbon mungkin masih tetap dihasilkan walaupun menggunakan penggoreng kering ini.
Kekurangan Penggoreng Kering
Dalam satu kajian, ikan yang digoreng kering mengandungi lebih banyak bahan yang dipanggil sebagai ‘produk pengoksidaan kolesterol’ atau ‘cholesterol oxidation products’ (COPs). COPs terbentuk apabila kolesterol daripada daging atau ikan terurai ketika dimasak. Hasil penyelidikan mengaitkan bahan ini dengan risiko penyakit jantung, kanser, dan masalah kesihatan yang lain.
Kajian itu juga mencadangkan, satu kaedah untuk mengurangkan pembentukan COPs ialah dengan menambah parsli atau kucai ke dalam lauk yang digoreng kering. Tumbuhan ini bertindak sebagai antioksida bagi mengurangkan COPs.
Ada juga kajian yang mendapati penggoreng kering mengehadkan kandungan omega-3 atau lemak tak tepu di dalam ikan. Lemak baik ini dapat mengurangkan kolesterol jahat dan risiko penyakit kardiovaskular.
Kesimpulan
Penggoreng kering dapat membantu mengehadkan pengambilan lemak tepu dalam jumlah yang banyak. Ia juga dapat membantu mengurangkan pengambilan kalori harian. Namun begitu, walaupun kajian tentang kesan sampingan penggunaan penggoreng kering masih terhad, secara asasnya, makanan bergoreng masih dikaitkan dengan pelbagai risiko masalah kesihatan sekiranya pengambilan tidak dikawal.
Untuk gaya pemakanan yang lebih sihat, variasikan cara masakan dan hadkan pengambilan minyak. Gunakan cara mereneh, merebus, atau stim untuk mencegah kesan sampingan daripada makanan bergoreng.