≡ Menu

Tidak Layak Menguruskan Harta Anak Yatim Sekiranya Fasik

SEJAK beberapa tahun kebelakangan, terdapat kisah masyarakat setempat mengenai kerabat atau pengurus harta anak yatim melakukan penyelewengan dalam mengurus harta golongan ini.

Ada kisah menyaksikan ahli kerabat tidak menyerahkan harta anak yatim kepada pengurus dilantik atau kepada anak yatim mencapai umur dewasa, makan harta anak yatim secara batil dan menyalah guna derma orang ramai kepada anak yatim.

Kisah seperti ini mempamerkan sifat tamak menguasai manusia dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Jika sebelum si bapa meninggal dunia, hubungan kekeluargaan sangat akrab, namun semua berubah apabila si bapa meninggal dunia dan harta menjadi taruhan.

Bagi umat Islam, kita diwajibkan untuk mengambil cakna urusan penjagaan dan pentadbiran harta anak yatim, khususnya dalam kalangan kerabat sendiri. Sengaja melakukan penyelewengan boleh mengakibatkan kita menerima azab pedih di akhirat kelak.

Dalam Islam, anak yatim merujuk kepada anak kematian bapa dan belum mencapai umur baligh. Dari segi adat pula, anak yatim dalam bahasa Melayu bermaksud anak kematian ibu atau bapanya, manakala yatim piatu merujuk kepada anak kematian ibu bapa.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Dari segi agama dan adat membawa makna berbeza, namun setiap kanak-kanak kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya hendaklah disantuni dengan baik kerana mereka masih kecil dan tidak memahami perkara berlaku ke atas diri mereka.

Pada masa sama, anak kecil kematian ibu juga tidak patut diabaikan atau harta mereka diseleweng oleh bapa atau kerabat disebabkan anak ini bukan termasuk dalam golongan anak yatim menurut Islam.

Hal demikian kerana, perbuatan seperti itu jelas haram kerana memakan harta secara batil dan menganiaya anak kecil sedangkan Nabi Muhammad SAW menunjukkan teladan baik terhadap kanak-kanak.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Bukan daripada kalangan kami (sunnah kami), mereka yang tidak menyayangi orang muda (lebih kecil usia) dan orang tidak menghormati orang dewasa (lebih berusia)” (HR Tirmizi)

Umumnya, individu dipertanggungjawabkan ke atas urusan anak yatim ialah kaum kerabat terdekat bermula daripada datuk sebelah ayah. Bagi yang tiada waris, tanggungjawab ini jatuh kepada pihak berkuasa.

BACA:  Akta kawal vape, rokok elektronik di Parlimen sesi Mac depan

Tanggungjawab ke atas anak yatim bukan sahaja bermaksud menyediakan keperluan asas seperti makan minum, tempat tinggal, pakaian dan pendidikan, akan tetapi merangkumi kasih sayang dan menjaga harta anak yatim sehingga saat ia diserahkan kembali kepada mereka.

Dalam perihal mengurus harta anak yatim pula, orang yang berhak mengambil alih tugas itu ialah individu diwasiatkan bapa kepada anak yatim untuk menjaga harta mereka.

Sekiranya tiada wasiat begitu, maka tanggungjawab menguruskannya adalah terletak kepada datuk iaitu ayah kepada si mati, kemudian ibunya atau daripada kerabatnya seperti saudara lelaki, bapa saudara. Bagaimanapun, hakim boleh memerintahkan individu difikirkan paling layak untuk menguruskan harta anak yatim terbabit.

Selain itu, individu didaftarkan sebagai penama kepada harta alih seperti wang simpanan dalam institusi kewangan atau tidak alih (hartanah) tertentu si mati juga menjadi pentadbir harta sebaik sahaja harta itu bertukar menjadi harta pusaka.

Hal ini jelas seperti diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan kali ke-49, penama bagi wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan seumpama dengannya bagi ahli beragama Islam meninggal dunia ialah wasi atau pentadbir harta sahaja. Pentadbir hendaklah membahagi harta itu mengikut hukum faraid.

Pengurus harta mesti amanah

Oleh itu, orang bertanggungjawab memberi nafkah anak yatim tidak semestinya orang berhak mengurus harta anak yatim itu. Pengurus harta anak yatim hendaklah mempunyai sifat amanah, cerdik dan boleh mengurus harta dengan baik supaya harta itu dapat dikembangkan. Ia selari dengan sabda Nabi SAW bermaksud, “Hendaklah bagi sesiapa menjadi penjaga harta anak yatim memperniagakan harta itu supaya ia tidak ditinggal dimakan zakat”. (HR Tirmizi)

Orang diketahui mempunyai sifat khianat, fasik dan mempunyai masalah moral tidak patut dilantik sebagai pentadbir harta anak yatim.

Sifat mahmudah (murni) dalam diri seorang pentadbir atau pengurus harta anak yatim ini penting bagi menjamin harta itu terpelihara ketika anak yatim terbabit tidak berupaya membela nasib diri mereka sendiri.

BACA:  Puji Diri Sendiri, Apa Pandangan Islam? Baca Lebih Lanjut

Dalam hal ini, Allah SWT memberi peringatan keras dalam al-Quran bermaksud, “Sesungguhnya orang memakan harta anak yatim secara zalim, mereka itu hanya menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam neraka menyala”. (Surah al-Nisa; ayat 10).

Namun, dibolehkan bagi pengurus harta anak yatim mengambil sedikit daripada harta itu untuk kegunaan yang makruf seperti dijelaskan dalam Surah al-Nisa; ayat 6).

Dalam hal ini, ulama berpandangan apa yang dimaksudkan dengan makruf itu, termasuk mengambilnya dengan niat berhutang, memakannya sekadar untuk keperluan dan tidak berlebih-lebihan, dijadikan upah dan juga digunakan apabila berada dalam keadaan darurat.

Harta anak yatim ini hendaklah diserahkan kembali kepada tuan asal selepas mereka sampai umur baligh seperti dijelaskan dalam aya ke-152 Surah al-An’am.

Aspek baligh menjadi syarat utama kepada penyerahan harta anak yatim, namun mereka juga hendaklah mempunyai kelayakan sempurna untuk menunaikan tanggungjawab syarak ke atas dirinya iaitu mencapai akil baligh dan berakal bagi mengurus hartanya sendiri.

Ini bersesuaian dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran yang menyebut untuk tidak menyerahkan harta individu di bawah jagaan, yang belum sempurna akalnya.

Di Malaysia, kelaziman masyarakat menganggap anak di bawah usia 18 tahun sebagai belum dewasa, sekalipun sudah baligh secara biologi disebabkan akal dianggap belum sempurna.

Oleh itu, hakim boleh memerintahkan harta anak yatim diserahkan kepada mereka sebaik sahaja mencapai usia dewasa 18 tahun. Begitu juga dengan perintah untuk memberi nafkah anak yatim boleh dilanjutkan sehingga 18 tahun atau sehingga satu umur tertentu seperti 21 tahun yang kebiasaannya mereka masih berada dalam alam pendidikan.

Peraturan dalam pentadbiran harta anak yatim mengandungi pelbagai hikmah dan menguji ketakwaan hamba-Nya. Setiap waris, wali atau pentadbir harta bagi pihak anak yatim hendaklah berusaha menunaikan tanggungjawab dengan amanah. Sesungguhnya kebaikan dilakukan terhadap anak yatim tidak sia-sia kerana akan mendapat balasan baik di dunia dan di akhirat.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.