
Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan beberapa kes pembunuhan yang boleh dianggap ngeri dan sadis kerana membabitkan ahli keluarga, anak dan ibu bapa serta pasangan berkahwin.
Punca kes seumpama ini ini berlaku juga sukar dimengerti kerana jika difikirkan semula seakan-akan tidak wajar sesuatu konflik itu berakhir dengan pembunuhan.
Kes pembunuhan semakin menjadi-jadi ini menimbulkan kebimbangan dan
persoalan dalam kalangan masyarakat, adakah manusia semakin hilang sifat harmoni dan kesejahteraan antara satu sama lain.
Dari sudut Islam, kes pembunuhan yang berlaku ini berpunca daripada keteguhan iman semakin nipis akibat hasutan syaitan mahu menyesatkan serta mencetuskan persengketaan dalam kalangan manusia supaya benci-membenci antara satu sama lain.
Sudah tentu perkara dan kejadian sebegini harus dipandang serius kerajaan serta pihak bertanggungjawab bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara.
Berkaitan perkembangan ini, umat Islam wajar kembali kepada peringatan Allah SWT di dalam al-Quran bermaksud; “Berpeganglah kamu semua kepada (agama) Allah SWT dan jangan bercerai-berai serta ingat nikmat Allah SWT kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan lalu Allah SWT menyatukan hatimu sehingga dengan kurnia-Nya kamu bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi ‘jurang neraka’, lalu Allah SWT menyelamatkan kamu. Demikianlah Allah SWT menerangkan ayat-Nya kepadamu supaya kamu mendapat petunjuk‘. (Surah Ali ‘Imran, ayat 103)
Jika diteliti dan dilihat semula, pelbagai faktor menjadi punca perselisihan serta perbalahan sehingga mengakibatkan berlaku pembunuhan antaranya disebabkan dendam menguasai diri seseorang.
Iman seseorang yang lemah juga menjadi sebab hilangnya kewarasan dalam tingkah laku individu. Pelakunya dilihat seperti tidak sedar apa yang dilakukannya adalah satu kesalahan dan dosa besar.
Islam tegas melarang umatnya berbunuhan antara satu sama lain. Kepercayaan selain Islam juga turut menekankan keharmonian sesama manusia demi memastikan setiap orang dapat hidup dengan aman damai.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud; ‘Sesiapa mengajak ke arah kebaikan, ia memperoleh pahala sebagaimana pahala orang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala orang mencontohinya itu sedikit pun. Sesiapa mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa orang mengikutnya tanpa mengurangkan dosa orang mencontohinya itu sedikit pun’. (HR Muslim)
Orang Islam mengakui iman pada diri mereka ada pasang surutnya, oleh demikian, kita perlu memperkukuhkan iman dengan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Umat Islam perlu memperbanyakkan amalan
soleh seperti mendirikan solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan beristighfar bagi memperbaiki serta memperkukuh iman masing-masing.
Firman Allah SWT bermaksud; ‘Bacalah kitab (al-Quran) diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan dirikan solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar. Dan mengingati Allah SWT lebih besar (keutamaannya daripada ibadah lain). Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Ankabut, ayat 45)
Kes pembunuhan, penderaan dan pelbagai kekejaman sesama manusia juga berpunca daripada tiada kesepakatan serta tolak ansur antara satu sama lain dalam pelbagai urusan seperti pembahagian harta, penjagaan anak dan masalah rumah tangga.
Apabila masing-masing berdendam, ditambah pula dengan tiada kekuatan iman untuk
menanganinya, maka manusia mudah terjerumus kepada perbuatan diharamkan agama seperti membunuh.
Dalam aspek ini, umat Islam perlu memastikan kehidupan kita berlandaskan kepada al-Quran dan hadis supaya jiwa kita sentiasa dipandu ke arah jalan kebenaran, sekali gus dijauhkan daripada sifat mazmumah (buruk) yang melalaikan serta merugikan kehidupan.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud; ‘Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunah’. (HR Imam Malik)
Sehubungan dengan itu, umat Islam perlu berusaha memelihara diri dan memelihara iman supaya tidak terpesong daripada landasan kehidupan diberkati serta dirahmati Allah SWT.
Umat Islam perlu berfikir dengan waras dan menilai sedalam-dalamnya sebelum tergerak melakukan sesuatu tindakan. Umat Islam perlu mengawal nafsu supaya tidak melakukan sesuatu tindakan di luar batasan manusia dan agama.
Paling utama, umat Islam perlu sentiasa mengingati Allah SWT dalam segala keadaan dan suasana serta reda dengan ketentuan-Nya. Setiap perkara menimpa diri atau keluarga kita mempunyai hikmah dijanjikan Allah SWT.
Tiada gunanya kita menggunakan kekerasan atau kekejaman untuk memuaskan hati atau menyelesaikan sesuatu perkara kerana ia merosakkan diri dan masa depan diri sendiri serta orang lain.
