“Bolehkah kadar testosteron ditingkatkan melalui makanan?”
Jawapannya ya! Testosteron ini sebenarnya hormon seks yang memberi kesan kepada lelaki dan wanita. Tetapi hormon ini lebih berlaku pada lelaki.
Fungsi hormon ini adalah untuk menetapkan tahap kesuburan, kesihatan tulang dan otot, tenaga serta libido. Semakin meningkat usia seseorang lelaki, semakin menurun kadar testosteron dalam badannya. Tetapi jangan risau, kerana ia boleh diatasi.
Kamu boleh ubah gaya hidup dan pemakanan dengan melebihkan beberapa makanan yang dikatakan berkesan dalam meningkatkan kadar testosteron dalam badan.
Tuna
Kaya dengan Vitamin D, tuna merupakan satu makanan yang dapat memberikan nutrien kepada lelaki selain menghasilkan testosteron dalam jangka masa yang panjang.
Selain daripada itu, ikan tuna juga mempunyai kandungan protein yang tinggi dan rendah dengan jumlah kalori. Tetapi jika kamu tidak boleh makan tuna, jangan risau. Kamu boleh gantikan dengan salmon, sardin, susu, keju dan daging lembut.
Tiram
Ketika lelaki mengalami akil baligh, badan mereka sangat memerlukan kandungan zink yang mencukupi. Ini kerana zink adalah salah satu nutrien yang penting untuk membantu proses testosteron terbentuk.
Selain itu, zink juga membantu dalam menjaga hormon lelaki supaya kekal seimbang sepanjang mereka dewasa. Jadi, tiram merupakan makanan yang terbaik kerana kandungan zink yang tinggi dapat membantu lelaki yang mempunyai testosteron yang rendah.
Daging Lembu
Daging lembu merupakan antara makanan yang terbaik untuk meningkatkan kadar testosteron. Terdapat banyak nutrien dan vitamin yang dapat membantu penghasilan pengeluaran hormon tersebut.
Walaupun ada kekangan mengenai pengambilan daging ini, tetapi rancangan diet yang teratur dan seimbang yang dapat memberikan pelbagai manfaat berbanding dengan keburukan.
Kekacang
Pernah terfikir atau tidak, kekacang yang dimakan oleh kamu setiap hari itu sebenarnya membawa pelbagai kebaikan dan manfaat pada tubuh badan?
Untuk kesihatan seksual lelaki, lebihkan makan kekacang seperti kacang buncis, lentils dan kacang panggang. Bukan apa kekacang ini dikatakan sumber zinc yang terbaik berbanding dengan makanan yang lain.
Secara tidak langsung kekacang juga dapat memberi serat dan protein yang berasaskan tumbuhan yang berfungsi melindungi dan menjaga kesihatan jantung kamu.
Kuning Telur
Adakah kamu tahu bahawa telur kuning merupakan salah satu sumber Vitamin D? Walaupun ramai yang tahu bahawa kuning telur boleh menjadi penyebab kepada kandungan kolestrol meningkat, tetapi ia mengandungi nutrien dan vitamin berbanding telur putih.
Bagi individu yang tidak mempunyai masalah kolestrol, tidak menjadi masalah untuk kamu makan telur kuning sekali untuk sehari. Tetapi bagi yang mempunyai masalah kolestrol, kamu perlu dapatkan nasihat daripada doktor.
Bawang Putih
Bukan sahaja menjadi perisa tambahan dalam masakan, bawang putih juga dapat ‘membunuh’ bakteria dan trigger penghasilan testosteron. Selain itu, bawang putih juga dapat mengurangkan jumlah kortisol.
Jika jumlah kortisol meningkat, ia akan membuatkan badan menjadi tertekan sekaligus memberi peluang kepada badan untuk menghidapi pelbagai jenis penyakit.
Minyak Zaitun Extra-Virgin
Minyak zaitun extra-virgin sememangnya terkenal dengan pelbagai manfaat kesihatan yang lain untuk badan seperti mengurangkan risiko penyakit jantung dan kanser.
Kaya dengan unsaturated fat, Vitamin E dan antioksidan, minyak zaitun ini juga dapat meningkatkan kesihatan seksual lelaki. Pengambilan minyak ini dapat meningkatkan kadar testosteron seorang lelaki yang sihat.
Cara Lain Untuk Tingkatkan Testosteron
Untuk pengetahuan kamu, selain mengamalkan beberapa makanan ini untuk meningkatkan kadar testosteron pada lelaki, sebenarnya ada beberapa cara lain yang boleh dilakukan.
Dengan amalkan diet yang sihat, perubahan gaya hidup dan rawatan, kamu boleh meningkatkan kadar testosteron dengan beberapa cara ini:
- Untuk mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, kamu boleh cuba kurangkan berat badan.
- Bersenam secara berkala.
- Dapatkan tidur yang cukup iaitu sebanyak 6 jam sehingga 8 jam setiap hari.
- Tidak terlalu stres.
- Dapatkan rawatan dan nasihat mengenai terapi testosteron.
Setiap individu terutamanya lelaki boleh dapatkan nutrien lengkap yang diperlukan oleh badan dengan mengikuti diet yang sihat dan seimbang bagi merangsang penghasilan testosteron.
Selamat beramal!