Jom ketahui tentang tips mengaji Al-Quran ini. Al-Quran adalah satu anugerah yang tak ternilai yang diturunkan Allah kepada umat Islam. Kitab suci ini merupakan satu mukjizat yang terkandung pelbagai keajaiban dengan hanya membaca dan memahami maksudnya. Allah SWT menghadiahkan pahala yang besar kepada sesiapa yang membaca al-Quran dengan baik berserta tajwid yang tepat.
Oleh itu, kesempatan membacanya dengan baik dan lancar adalah satu kenikmatan yang tidak dimiliki oleh semua orang. Hal ini kerana al-Quranlah yang akan memberi syafaat kepada pembacanya semasa di alam kubur kelak.
“Daripada Abu Umamah r.a melaporkan: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Banyak dalam kalangan kita masih belum menguasai cara membaca al-Quran dengan betul. Lebih rugi lagi kita tidak berusaha bersungguh-sungguh menjadikan al-Quran sebagai gaya hidup selagi diberi kesempatan bernyawa.
Jadi sebelum terlewat, ayuhla kita kembali menjadikan al-Quran sebagai sahabat dan berusaha mendekatkan diri dengan kitab Allah ini. Antara cara yang boleh dicuba adalah;
#1 Fahami Tujuan Mengaji
Berniatlah mengaji hanya kerana Allah SWT, bukan untuk menunjuk ataupun demi mendapatkan keuntungan semata-mata, termasuklah mencari populariti.
#2 Faham Apa Yang Dibaca
Sebaiknya cuba memahami apa yang dibaca, melalui tafsir atau al-Quran bermaksud yang kini banyak di pasaran. Pasti kita akan lebih menghayati pembacaan al-Quran jika mengetahui iktibar yang ingin Allah sampaikan melalui kalam-Nya.
#3 Biar Sedikit Asalkan Selalu Mengaji
Membaca al-Quran tidak perlu masa yang panjang dan lama, sebagai permulaan cukuplah hanya satu muka surat ataupun selama lima minit sehari. Biar sedikit asalkan berterusan dan dilakukan selalu.
#4 Sentiasa Mendengar Alunan al-Quran
Mendengar alunan al-Quran juga dapat membuatkan kita bertambah meminati dan mencintai al-Quran, bahkan turut mendapat pahala. Kini terdapat banyak kemudahan dan aplikasi yang boleh digunakan untuk mendengar bacaan al-Quran pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
#5 Banyakkan Berdoa
Berdoalah agar Allah SWT memudahkan kita memahami dan mempelajari al-Quran. Antaranya, berdoalah agar diberi kerajinan serta hidayah untuk berterusan mengaji al-Quran.
#6 Mengamalkan Apa Yang Terkandung Dalam al-Quran
Contohi Rasulullah SAW yang menjadikan al-Quran sebagai panduan dan cara hidup. Apabila selalu mengamalkan apa yang diajari dalam al-Quran, ini dapat mendekatkan diri dengan al-Quran itu sendiri bahkan Allah SWT. Sehinggakan apabila berjauhan sedikit dengan al-Quran, terasa janggal pula.
#7 Berwuduk Sebelum Mengaji al-Quran
Berwuduk akan mengingatkan bahawa kita akan membaca al-Quran iaitu satu kitab yang suci, bukannya bahan bacaan biasa. Dengan itu kita akan lebih berhati-hati dan mendapat ‘mood’ untuk mengaji dengan lebih tekun dan bersungguh.
#8 Belajar Tajwid
Belajar tajwid akan menjadikan bacaan al-Quran lebih tepat dan betul. Pada awalnya boleh pelajari tajwid melalui al-Quran yang bertanda dan berwarna. Lama kelamaan apabila sudah terbiasa mengaji, kita akan mengenali hukum tajwid dengan lebih tepat.
#9 Belajar Melalui Guru
Paling baik adalah belajar mengaji melalui guru. Ini adalah untuk memastikan setiap bacaan seperti sebutan hukum tajwid dan sebagainya lebih tepat. Selain itu, dengan berguru menjadikan kita lebih bersemangat untuk terus belajar mengaji dengan betul.
Penutup
Belajar mengaji tidak ada had masa yang tertentu. Jadi tidak perlu malu dan takut untuk terus belajar jika belum mahir sepenuhnya. Tapi yang perlu ada ialah rasa malu dan takut jika tidak pandai mengaji apabila disoal oleh Allah SWT kelak.
Sebagai umat Islam, membaca al-Quran adalah wajib, apatah lagi mempelajarinya serta berterusan membacanya. Jika kita tidak mahir sekalipun, usaha untuk belajar itu telah Allah SWT tuliskan pahala yang besar, jadi janganlah kita sia-siakan ganjaran itu. Semoga Allah SWT sentiasa memberi kita hidayah dan kemahuan untuk terus mecintai kalam-Nya ini. Amin.