≡ Menu

Tutuplah Aurat, Insya’Allah, Usaha Kita Meraih Keberkatan Hidup

Di sebalik pendidikan agama yang antara lain menekankan kepentingan menutup aurat sudah diterapkan sejak kecil di negara ini, masih ramai dalam kalangan umat Islam meremehkan kepentingan aurat atau mengikutnya sekadar memenuhi syarat untuk dilihat masyarakat bahawa mereka sudah berbuat demikian.

Menutup aurat hakikatnya menjadi antara kewajipan perlu dilaksanakan setiap orang beriman kerana ia perintah Allah SWT kepada setiap hamba-Nya seperti firman-Nya: “Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian tanda kekuasaan Allah SWT, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (Al-A’raf: 26)

Oleh itu, kita hendaklah memelihara aurat dengan sebaik-baiknya kerana ia perintah Allah SWT. Jika kita ingin menjadi insan bertakwa di sisi Maha Pencipta, maka kita perlu melaksanakan segala perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya.

Malangnya, ada mempersendakan suruhan Allah SWT ini dengan memuat naik pelbagai rakaman kononnya untuk dijadikan hiburan semata-mata, sekali gus mendapatkan perhatian umum atau keseronokan sendiri.

Tidak hairanlah sebahagian umat Islam mengetahui kewajipan menutup aurat tetapi tetap tidak mengendahkannya termasuk lelaki Muslim yang sempurna memakai baju tetapi berseluar pendek di khalayak umum ketika menjalankan aktiviti harian mahupun beriadah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Bagi wanita pula, ramai keluar dari rumah atau berada di khalayak ramai dalam keadaan bertudung sempurna tetapi memakai baju berlengan pendek seolah-olah menggambarkan kefahaman mereka bahawa sudah memadai untuk menutup rambut daripada dilihat orang haram melihatnya.

BACA:  Susu Kambing. Minuman Yang Berkhasiat Tinggi Tapi Tak Ramai Amalkan.

Tak sempurna menutup aurat

Begitu juga dengan ada dalam kalangan wanita Islam bertudung tetapi memakai pakaian ketat hingga menampakkan susuk dan bentuk tubuh badan. Walaupun secara dasarnya, mereka memakai pakaian lengkap menutup aurat tetapi aurat tidak ditutup seperti dikehendaki agama.

Rasulullah SAW bersabda: “Dua golongan termasuk ahli neraka ialah wanita berpakaian separuh bogel (kerana memakai pakaian nipis atau menampakkan susuk badan) berjalan berlenggang-lenggok yang kepalanya terhuyung-hayang laksana kelana unta bergoyang-goyang, Wanita itu tidak akan memasuki syurga, sedangkan bau syurga itu akan tercium dalam jarak sekian dan sekian.” (Hadis riwayat Muslim)

Hakikatnya, menutup aurat bukan semata-mata mematuhi perintah Allah SWT, bahkan ia juga akan mengundang pemeliharaan Tuhan Yang Maha Kuasa dan membawa keberkatan ke dalam hidup kita.

Justeru, kefahaman berkaitan aurat perlu dipupuk sejak kecil lagi agar anak mengetahui betapa pentingnya seseorang menutup aurat. Bukan itu sahaja, bahagian aurat juga perlu diketahui agar tidak mudah diperlihatkan kepada golongan haram untuk melihatnya.

Oleh itu, ibu bapa sangat berperanan dalam mendidik anak untuk memelihara aurat diri dan menjaga pancaindera mata daripada melihat perkara yang boleh merosakkan pandangan seperti aurat orang lain.

Biarlah wujud dalam diri kita rasa malu untuk mendedahkan aurat kerana kita mengetahui maruah diri cukup mahal di sisi Allah SWT. Disiplinkan anak kita bermula daripada kecil dengan pakaian sopan serta menutup auratnya.

Walaupun mereka masih kecil dan tidak tahu apa-apa, insya-Allah ia akan memberi impak yang baik kepada diri mereka apabila meningkat remaja kelak. Jika ada keterlanjuran dilakukan sebelum ini dalam menjaga aurat, mohonlah keampunan kepada Allah SWT dengan bertaubat serta memperbanyakkan beristighfar.

Tanam dan semailah dalam diri rasa tanggungjawab untuk mendidik diri serta membantu orang lain terutama ahli keluarga dalam perihal aurat ini.

Yakinlah, apabila kita menjaga aurat dengan sebaik-baiknya, secara tidak langsung kita menghargai serta mensyukuri nikmat pinjaman diberikan Allah SWT kepada kita.

Firman Allah SWT: “Dan katakanlah kepada wanita beriman agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau anak lelaki mereka atau anak lelaki suami mereka atau saudara lelaki mereka atau anak lelaki kepada saudara lelaki mereka atau anak lelaki kepada saudara perempuan mereka atau wanita Islam atau budak suruhan mereka miliki atau pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak belum mengerti mengenai aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang beriman, agar kamu beruntung” (An-Nur: 31).

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.