
Kamu setuju tak kalau kami cakap tak ramai orang menjadi morning person?
Bukan apa kadang kala berjaga sehingga lewat malam itulah yang membuatkan ramai rasa liat dan malas untuk bangun pagi. Tambah-tambah hujung minggu, double malas.
Untuk pengetahuan kamu, waktu pagi merupakan waktu yang paling produktif untuk badan. Otak akan rasa segar dan tahap kepekaan menjadi lebih tinggi berbanding waktu lain.
Malah ada kajian menunjukkan bangun awal pagi dan lakukan sedikit pergerakan seperti senaman atau kerja dapat berikan motivasi yang tinggi pada seseorang individu.
Apa chronotype sleep kamu?
Kitaran tidur dan bangun secara semula jadi dikenali sebagai cicardian rhythm serta ianya boleh menjadi berbeza dan sama bagi setiap orang.
Kalau kamu nak tahu, kecenderungan semula jadi untuk menjadi morning person atau sebaliknya dikenali sebagai chronotype. Malah istilah ini sering digunakan dalam kumpulan haiwan dan jarang digunakan dalam kelompok manusia.
Bagi setiap orang, chronotype tidak boleh dipilih tetapi ia akan ditentukan oleh genetik kamu. Untuk tahu sama ada kamu seorang morning person atau tidak, ianya bergantung pada genetik.
Tetapi jangan risau, tabiat dan tingkah laku ini boleh diubah dengan melakukan sedikit perubahan seperti jadual tidur dan jaga dengan betul.
Macam mana nak ‘reset’ untuk jadi morning person?
Sebenarnya tak susah pun untuk menjadi morning person. Jika kamu memang berniat dan tekad untuk berubah, lakukan beberapa perkara ini:
Tukar dan susun jadual di awal pagi
Kebanyakan orang akan memilih untuk melakukan kerja atau tugasan sebaik sahaja mereka bangun tidur tanpa mengira waktu sama ada pagi, petang atau malam.
Tetapi untuk menjadi morning person, kamu perlu menjadi lebih berdisplin. Cuba tukarkan kitaran hidup seharian kamu dan atur untuk siapkan tugasan atau kerja di awal pagi.
Tak kiralah sama ada bersenam, bersarapan atau mengemas rumah di awal pagi, ia akan menjadi langkah pertama untuk kamu menjadi seorang morning person.

Jangan guna langsir blackout
Memang best kalau guna langsir blackout, lagi-lagi pada hujung minggu. Tidur memang tak terasa hari sudah berlalu.
Kalau nak jadi morning person, kamu kene ‘buang’ langsir blackout dan gantikan dengan langsir biasa. Ini kerana cahaya akan memasuki bilik kamu dengan banyak.
Bila cahaya masuk ke dalam bilik, ia akan memberitahu otak bahawa hari sudah bermula. Dan kemudian otak akan kirimkan signal pada badan untuk berhenti menyalurkan melatonin iaitu hormon yang membuatkan tidur menjadi teratur.
Makan makanan tinggi protein
Nak kekal cergas dan bertenaga bila sudah bangun pagi? Kamu perlu mengambil makanan yang tinggi dengan protein.
Bagus untuk memulakan hari kamu, makanan tinggi protein dapat meningkatkan kadar dopamine yang dapat membuat badan menjadi lebih segar dan bersedia untuk ‘bekerja’.
Kamu juga boleh mengambil karbohidrat, tetapi jangan ambil terlalu banyak kerana ia boleh membuatkan kamu menjadi mengantuk dengan cepat.
Set untuk bersenam di awal pagi
Boleh saja kalau nak bersenam pada waktu malam atau waktu-waktu lain selain pagi. Tetapi bersenam di awal pagi lebih baik untuk badan.
Ini kerana bersenam di awal pagi boleh menurunkan tekanan darah, kurangkan stress malah memudahkan kamu tidur dengan lebih nyenyak pada waktu malam.
Tak kiralah sama ada jogging, yoga atau berbasikal, kamu patut bersenam di luar rumah untuk mendapatkan udara yang segar di awal pagi.
Track waktu tidur dengan muat turun aplikasi khas
Kalau susah untuk tidur awal pada waktu malam dan bangun awal pada waktu pagi, lebih baik kamu muat turun aplikasi khas yang track waktu tidur kamu.
Aplikasi khas ini akan membantu kamu dalam mengawal waktu tidur dan waktu bangun dengan lebih efektif. Malah kamu juga boleh tetapkan berapa lama waktu rehat yang diperlukan oleh badan.
Selain beberapa langkah yang dikongsi ini, ada bermacam-macam lagi cara untuk bantu kamu menjadi morning person.
Tapi apa-apa pun, dapatkan rehat yang cukup dan tidur yang berkualiti. Barulah senang dan mudah untuk bangun awal pagi serta badan kamu boleh kekal cergas sepanjang hari.
