Kecelaruan pemikiran dalam kalangan masyarakat awam hari ini dilihat seakan semakin menular dan membarah sehingga mengundang perbalahan antara Muslim. Tanpa kita sedari, ledakan media sosial (medsos) menjadi antara punca paling besar kepada kecelaruan kefahaman Islam yang sebenar. Pelayar medsos yang menggunakan internet tanpa pengetahuan agama yang baik akan mudah cenderung kepada pemikiran tertentu sehingga sedikit demi sedikit akan mudah terikut dengan fahaman yang melampau, sesat dan merosakkan akidah seorang Muslim. Fahaman agama yang menyimpang ini sukar diatasi jika tidak dibendung sejak dari awal khususnya peranan serius daripada pihak-pihak tertentu.
Sebenarnya kecelaruan fahaman ini tidak semestinya yang difatwakan oleh pihak berkuasa agama sahaja, tetapi fahaman yang cuba menafikan amalan bermazhab di Malaysia juga dianggap fahaman yang melampau dan bahaya. Bahkan boleh berlaku kerosakan akidah sesetengah pengikut fahaman ini apabila mereka mula menyesatkan imam-imam mujtahid seperti Imam al-Syafii, Imam Abu Hasan al-‘Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi lantaran ketaasuban terhadap tentangan yang dibuat oleh guru-guru mereka terhadap imam-imam tersebut. Masyarakat dengan mudah menolak mazhab setempat dan pegangan akidah yang disepakati sejak sekian lama Islam bertapak di negara ini. Ia terjadi apabila agama difahami tidak mengikut disiplin pengajian yang betul.
Oleh itu, antara tanggungjawab masyarakat awam untuk memastikan pegangan akidah yang sahih termasuklah sentiasa menghadiri majlis ilmu di masjid atau surau berhampiran. Masjid merupakan tempat bertauliah untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman Islam kerana guru yang dijemput mestilah memiliki tauliah mengajar daripada majlis agama negeri masing-masing. Para guru ini sudah menjalani proses tapisan yang ketat seperti kelayakan bidang pengajian, menjalani ujian saringan awal dan sesi temuduga bersama pegawai agama yang dilantik. Melalui majlis ilmu, masyarakat akan mendapat maklumat yang tepat dengan sumber al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Pun begitu, masyarakat wajib berusaha memilih guru yang terbaik, silibus pengajian yang teratur dan tempat pengajian yang diyakini. Elakkan ke tempat-tempat yang tertutup dan terlalu berahsia kerana hal itu mungkin menjadi agenda ajaran tertentu yang boleh merosakkan akidah.
Seterusnya, sentiasalah berguru dengan ramai ilmuan. Sebagai contoh ilmu akidah, maka belajarlah dengan beberapa orang guru supaya kita boleh membuat penilaian berdasarkan kefahaman kita tentang guru mana yang jelas, mana yang kabur dan mana yang pelik serta meragukan. Jauhi daripada ketaasuban dengan hanya seorang guru kerana setiap guru berbeza kefahaman dan pembawakan ilmunya. Kenali guru melalui latar belakang pengajiannya, keluarganya, aliran pemikirannya dan pandangan fekahnya agar apa yang disampaikannya diyakini kesahihannya di samping menepati apa yang diamalkan secara rasmi oleh kebanyakan masyarakat Islam di Malaysia. Guru yang menyalahi pegangan akidah seperti yang diamalkan mestilah dijauhi oleh masyarakat awam khususnya yang masih baru dalam pengajian asas-asas agama. Guru seperti biasanya mereka sangat aktif di saluran maya (medsos) lantaran para pelayarnya yang majoriti golongan muda mudi yang mudah dipengaruhi dengan dakyah seperti ‘agama ini mudah saja’, ‘ini bukan sunnah nabi kita’, ‘tak buatpun tak mengapa’ dan sebagainya.
Akhir sekali, masyarakat wajib membaca sumber dan maklumat yang sahih. Jika membaca buku, pastikan buku tersebut tulisan ilmuan yang dipercayai dan penerbit yang rasmi seperti jabatan agama, majlis agama Islam negeri, pihak berkuasa agama dan penerbit universiti kerajaan. Berhati-hati apabila membaca maklumat hasil tulisan penulis yang tidak dikenali, apatah lagi yang telah disenarai hitam kerana dibimbangi boleh mencelarukan masyarakat awam. Ia mungkin tiada masalah bagi pembaca yang bertaraf ilmuan, namun tidak sama sekali bagi kebanyakan masyarakat awam yang tidak mendalami disiplin pengajian Islam secara khusus. Begitu juga sumber-sumber yang bertebaran di internet yang banyak mengelirukan masyarakat sehingga berlaku perang medsos, sedangkan mereka hanya masyarakat awam yang masih jauh perjalanan ilmu apatah lagi untuk memandai-mandai dalam perkara agama.
Marilah kita berhijrah ke arah pegangan akidah Ahlu al-Sunnah wal Jama’ah yang sebenar bermazhab ‘Asha’irah seperti yang ditetapkan oleh pihak pemerintah negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) dan majlis-majlis agama negeri supaya masyarakat awam dapat memahami kepentingan akidah daripada perspektif yang sebenar dalam konteks amalan kontemporari Muslim di Malaysia. Kewujudan pihak berkuasa agama seperti yang dinyatakan sebelum ini sudah cukup untuk dijadikan tempat rujukan segala permasalahan akidah di samping menyelamatkan diri daripada semangat beragama secara buta tali, lalu mereka dengan mudah menjadi mangsa pihak-pihak berkepentingan yang hanya ghairah dengan membina pengikut yang jahil.