≡ Menu

Ummat Islam Perlu Lebih Inovatif Dalam Dunia Penuh Cabaran Sekarang Ini

Banyak hasil daya kreativiti dan inovasi yang ada pada hari ini sebenarnya lahir daripada permasalahan hidup yang dihadapi manusia. Disebabkan manusia dihimpit dengan aneka cabaran dan masalah telah mencetuskan minat ilmuwan dan saintis untuk menggerakkan usaha yang berdaya dinamik demi menangani sesuatu masalah.

Sebenarnya, Islam amat menggalakkan umatnya agar sentiasa berfikiran dinamik dan tidak mati akal apabila berhadapan dengan apapun situasi dalam kehidupan. Sikap berputus asa dan hanya berserah kepada suratan takdir sahaja tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Hal itu kerana Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah agama berdaya dinamik yang mendidik umatnya bersikap mahu maju dalam mengharungi kehidupan di dunia ini.

Atas faktor itulah maka pada abad kegemilangan Islam dahulu, telah muncul banyak tokoh ilmuwan Muslim yang menggarap pelbagai ilmu pengetahuan dalam usaha membangunkan satu kehidupan masyarakat yang berdaya dinamik.

Ibnu al-Haitham, iaitu Bapa Optik Moden mengular penglibatannya dalam dunia
ilmu dengan berkata: “Saya meninggikan tekad untuk mengetahui pandangan yang membawa saya lebih dekat kepada Allah, faktor yang membawakan saya diredai-Nya dan petunjuk yang membawa saya mentaati dan bertakwa kepada-Nya.”

Nampak jelas di sini bahawa ilmuwan Muslim terdahulu begitu komited dalam penerokaan ilmu, sekali gus mencungkil bakat dalam melakukan inovasi dalam segenap cabang ilmu tidak lain adalah sebagai wadah mendekatkan diri kepada Allah. Usaha kelimuan yang mereka lakukan semata-mata mahukan Allah reda kepada mereka sebagai hamba-Nya yang berusaha mensejahterakan kehidupan ummah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Dengan kata lain, mereka melakukan usaha jihad dalam bidang ilmu demi ummah dan mengharapkan reda Allah. Sebab itu mereka saling berlumba memajukan ilmu dunia itu bukan mahu nama mereka disanjung sebagai adiwira ummah yang ulung, namun niat mereka tulus murni demi manfaat manusia. Mungkin atas sebab itulah juga Allah mempermudahkan setiap usaha yang mereka lakukan.

Kini, saintis dan ilmuwan Muslim kembali bangkit dengan semangat tinggi untuk melakar kegemilangan Islam sekali lagi dalam bidang ilmu, sekali gus menobat umat Nabi Muhammad SAW selaku umat terbaik yang merintis jalan ke arah mensejahterakan kehidupan ummah sejagat.

Di tanah air kita apa kurangnya, apabila banyak universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang saling bergerak aktif membina watak sebagai pembangun ilmu dan pembina inovasi. Misalnya, seperti terpapar dalam akhbar ini sendiri baru-baru ini yang menunjukkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membangun projek rintis urus sisa organik di tapak pelupusan mengikut cara lebih mesra alam.

Projek yang dirintis oleh IPT berkenaan menepati kaedah mesra alam dan tidak berkos tinggi menggunakan serangga seperti lalat soldadu (black soldier fly) untuk mengitar
semula sisa organik di kawasan tapak pelupusan sampah, menggunakan semula tapak pelupusan lama dan juga merawat air sisa.

Pada kita penyelidikan dan pembangunan berasaskan sains dan teknologi seperti itu sangat perlu dalam membina satu budaya inovasi tinggi dalam kalangan masyarakat. Sudah tentu dengan ada kemudahan yang dirintis itu akan menyerlahkan lagi kedudukan negara ke arah menangani sebarang isu dan masalah berkaitan pelupusan sisa pepejal atau sampah sarap.

Memunculkan negara sebagai sebuah negara moden dan maju itu bukan sahaja berdasarkan wujud dan terbina bangunan pencakar langit dan bertaraf mega-raya, tetapi dalam masa yang sama ia perlu diseiringkan dengan kewujudan prasarana awam yang mesra alam. Lebih menarik lagi, apabila perkakasan dan kemudahan untuk kesejahteraan masyarakat itu dibangunkan hasil daya ilham dan usaha-cipta para ilmuwannya sendiri. Tidak sekadar menjadi masyarakat Muslim yang menjadi si pengguna sahaja.

Umat Islam perlu bergerak daripada watak si pengguna kepada sifat jati diri unggul selaku si pencipta dan pendaya inovasi terbaik dunia sepertimana umat Islam terdahulu pernah rintiskan. Kita seharusnya mengubah kehidupan dalam zon selesa sebagai si pengguna sahaja kepada masyarakat Muslim berdaya cipta yang mampu membangun apa sahaja inovasi sains dan teknologi untuk kesejahteraan dan keselesaan hidup ummah sejagat.

BACA:  Hukum Mengambil Keuntungan Atas Pertukaran Mata Wang Asing? Apakah Hukumnya?

Allah telah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum itu, sebelum mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.” – (Surah Ar-Raad ayat 11). Sehubungan itu, dalam usaha mahu membangkitkan masyarakat Muslim yang mampu menjadi umat pencipta, seharusnya ilmuwan dan saintis Muslim di tanah air mengorbankan masa dan keringat mereka demi mencungkil apa yang terdaya untuk menghasilkan sesuatu yang boleh mangangkat imej ummah.

Ilmuwan dan saintis sebenarnya wira ummah kerana pada tangan dan idea merekalah insya-Allah martabat umat dan agama berkeupayaan untuk dijulang tinggi. Golongan seperti itu harus dilihat sebagai golongan yang sedang ‘berjuang di jalan Allah’ juga kerana mereka sedang berusaha memajukan negara, bangsa dan secara tidak langsung menobatkan agama Islam sebagai agama penggerak umat ke arah kemajuan.

Kemaslahatan ummah dan kesejahteraan negara seharusnya menjadi falsafah dalam diri setiap penyelidik, saintis dan ilmuwan Muslim masakini agar segala usaha murni mereka menjadi nilai di sisi Allah yang sudah pasti memulangkan kepada diri mereka dengan ganjaran pahala yang cukup besar. Berjuang sebagai wira perintis inovasi dan pencetus rekacipta bakal menjadikan negara kita seiring maju dengan negara-nagara lain, sekali gus mengangkat imej agama juga.

Semoga kehadiran begitu ramai ahli saintis dan ilmuwan pelbagai bidang di tanah air bukan sekadar melengkapkan jumlah pengajar di IPT sahaja, sebaliknya sangat kita mengharapkan mereka berupaya memunculkan diri sebagai hero negara dan pejuang ummah dalam bidang ilmu yang memberi manfaat buat semua. Insya-Allah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.