Berlari Menuju Allah
Firman Allah SWT
۞ وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍۢ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ ١٣٣
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;(Ali Imran:133)
Pengajaran
1. Dalam al-Quran kerap menggunakan bahasa yang membangkitkan manusia agar jangan melambat-lambatkan malah bersegera menuju kepada kebaikan.
2. Segeralah berbuat kebajikan dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melaksanakan berbagai jenis ibadah, agar kita mendapat keampunan yang besar dari Allah dan masuk ke dalam surga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang Allah sediakan bagi hamba-hamba-Nya yang bertakwa.
3. Dalam surah al-Baqarah ada ayat 148
وَلِكُلٍّۢ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا ۖ فَٱسْتَبِقُوا۟ ٱلْخَيْرَٰتِ ۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا۟ يَأْتِ بِكُمُ ٱللَّهُ جَمِيعًا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ ١٤٨
Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
4. Apakah beza antara wa saari’uu dan fastabiquu. Dalam kata wa saari’uu yang ditekankan adalah kesegeraan bergerak, tanpa sedikit pun ragu. Manakala kalimah fastabiquu lebih kepada perintah berlumba, jangan ada orang lain yang mengalahkannya. Namun keduanya membawa makna bersegera untuk bergerak.
5. Jangan ada sifat kita sebagai orang Islam suka menangguh-menangguh untuk melaksanakan kewajipan atau berbuat kebaikan. Contohnya melambat-lambatkan solat 5 waktu, menangguh-nangguh untuk bersedekah, dan paling merbahaya ialah menangguh untuk bertaubat serta memohon keampunan Allah SWT.
6. Rebutlah tawaran istimewa Allah pada bulan Ramadan ini untuk mendapatkan keampunan, rahmat Allah SWT dengan berlumba-lumba melakukan ibadah serta amal kebajikan.