Mungkin ramai antara kita yang baru mendirikan rumah tangga atau dah lama berkahwin tapi tak pernah sentuh tentang nafkah antara suami isteri.
Yang isteri malu nak meminta, yang suami pula diam-diam saja sebab rasa macam dah tanggung semua.
Dalam Islam, sebenarnya ada nafkah WAJIB yang perlu diberikan oleh suami kepada isteri.
Dalam artikel ini, kami akan menerangkan dan mengupas lebih lanjut tentang kadar nafkah isteri yang WAJIB diberikan oleh suami.
Jom kita ambil tahu dan tambah ilmu bersama.
NAFKAH ISTERI DALAM ISLAM
Bab nafkah selalu saja jadi topik hangat yang sering dibincangkan. Bukan setakat bincang, nafkah juga boleh jadi perselisihan faham hingga membawa kepada pergaduhan dalam rumah tangga.
Ada yang dah faham oklah, Alhamdulillah. Ada yang samar-samar.
Bahkan ada juga yang dah lama nikah tapi masih lagi keliru tentang nafkah suami kepada isteri.
“Ustaz, suami saya tak pernah bagi nafkah dekat saya.” Ini soalan yang selalu orang tanya.
Bila disoal, rupanya apa yang dimaksudkan nafkah kebanyakan orang faham adalah duit. Duit belanja katanya.
Perbezaan ‘Duit Belanja’ Dengan Nafkah Isteri
Sebenarnya ada beza antara duit belanja dengan nafkah. Duit belanja ni macam pemberian si suami atas dasar ikhlas nak belanja isteri.
Mungkin sebab dia kasihan tengok isterinya penat buat kerja-kerja rumah, dia hulurkan reward.
Mungkin juga sebab si isteri selalu bantu dia, jadi si suami tu pun hulurkan duit belanja lebih. Duit begini, terpulang pada isteri nak belanja apapun asalkan bermanfaat.
Mungkin juga ada rezeki lebih si suami belanja beli rantai emas 916 ke, gelang ketum, lipan, pulut dakap ke, cincin, goldbar 999. Semua tu termasuk ‘duit belanja’ tadilah.
Sedangkan nafkah suami kepada isteri itu wajib hukumnya. Nafkah diambil daripada perkataan nafakah iaitu infaq.
Infaq bermaksud mengeluarkan.
[Rujuk Fathul Qarib al-Mujib Fi Syarh Alfazh al-Taqrib]
3 NAFKAH WAJIB YANG PERLU DISEDIAKAN OLEH SUAMI UNTUK ISTERI
Nafkah suami kepada isterinya yang wajib ada tiga:
- 1. Makanan dan minuman
- 2. Tempat tinggal
- 3. Pakaian
Adapun macam alat bersuci, alat berhias dan ubat-ubatan itu atas budi bicara si suami sebab bukanlah sampai tahap wajib sebagaimana keperluan asas yang tiga tadi tu.
Haa, nak isteri cantik dan sihat tak ada salahnya suami bantu berbelanja. Namun begitu kena tengok kemampuan suami jugalah.
KADAR NAFKAH YANG DITETAPKAN DALAM ISLAM
Kadar nafkah itu banyak mana?
a) KADAR NAFKAH MAKANAN
Imam Syafie’ menetapkan:
1. Jika suami mampu atau kaya, hendaklah beri nafkah sebanyak 2 mud atau cupak (1.2 kg beras) sejak terbit fajar hingga ke akhir malam setiap hari.
Ini juga termasuk lauk-pauk sekali yang biasa dimakan orang ada-ada. Yelah takkan nak makan nasi putih je tanpa laukkan. Tapi ada juga orang yang kayu suka makan makanan biasa-biasa. Bersyukurlah andai keluarga kaya tapi makanannya sekadarnya saja.
2. Jika suami miskin atau susah, hendaklah beri nafkah sebanyak 1 mud atau cupak (600 gram beras) sejak terbit fajar hingga ke akhir malam setiap hari.
Termasuk juga lauk-pauk yang si suami mampu berikan setara kesusahannya. Mungkin adat kebiasaan lauk ikan masin atau telur.
3. Jika suami yang sederhana, tak kaya tak miskin pula, hendaklah beri nafkah sebanyak 1 1/2 mud atau cupak (900 gram beras) sejak terbit fajar hingga ke akhir malam setiap hari.
Dan juga sekali lauk-pauk kebiasaan orang makan. Suami wajib berikan pada isterinya.
b) KADAR NAFKAH PAKAIAN
Dari segi pakaian pula, suami wajib berikan sebanyak 2 pasang pakaian setahun kepada isterinya. Jika nak beri lebih pun, tak ada masalah malah beroleh pahala pula. Selebihnya adalah sunat.
c) KADAR NAFKAH TEMPAT TINGGAL
Begitu juga tempat tinggal, ikut kadar kemampuan si suami.
Jika suami mampu rumah teres, pangsa, rumah atas bukit, kondo, semi-D, banglo… semuanya terpulang pada kemampuan suami, kesesuaian dan keselamatan isteri.
“ABANG TAK PAYAHLAH BAGI NAFKAH, DAH CUKUP PUN SEMUA TU.”
Kalau isteri dah redha begitu, maka tak berdosalah suami jika tak mampu berikan nafkah. Sebab nafkah itu kan hak si isteri. Ia juga atas budi bicara si isteri. Tak salah si isteri nak bantu suaminya.
Sebab dalam kehidupan kita ini, ada pasang surutnya. Mungkin satu ketika si suami kaya. Dia belanja anak isterinya lebih. Ada waktu dia jatuh terduduk.
Isteri yang faham dan solehah, dia pasti akan memahami keadaan suaminya bagaimana. Tak ada orang lain yang lebih rapat dan faham suami melainkan isterinya sendiri.
Besar pahala si isteri yang bersabar dan redha saat diuji suami sebegitu.
Allah SWT berfirman:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”
[Surah at-Thalaq, ayat 7]
Begitulah serba sedikit ilmu tentang nafkah.
Jadi, jomlah sama-sama kita share dan sebarkan pada orang lain pula. Berpahala InsyaAllah. Moga-moga pakat faham dan beroleh manfaatnya.