Apakah khasiat kunyit hitam pada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat kunyit hitam yang boleh diberikan pada kesihatan badan.
Dalam masakan masyarakat di Malaysia, kunyit adalah sejenis rempah yang tidak asing lagi digunakan bagi memberi warna dan juga menjadi agen pengawet. Berbeza pula dengan kunyit hitam, yang mana penggunaannya mungkin jarang-jarang didengari, kerana harga yang lebih tinggi dan dipasarkan sebagai produk pembangunan dan penyelidikan (R&D).
Dengan nama saintifik Curcuma caesia, ia berasal daripada spesis kunyit dan mempunyai daun berjalur ungu kehitaman di bahagian tengah. Segelintir masyarakat juga memanggil kunyit hitam sebagai ‘temu hitam’. Tahukah anda apakah khasiat kunyit hitam? Artikel ini akan membincangkannya.
Khasiat Kunyit Hitam pada kesihatan
Ini merupakan beberapa khasiat yang didapati daripada kajian di dalam makmal, pada haiwan dan juga sebahagian kecilnya pada manusia. Penggunaan herba yang digunakan sebagai makanan kesihatan atau rawatan perlulah mendapat nasihat daripada doktor terlebih dahulu agar ia tidak mengganggu rawatan yang dijalankan oleh doktor.
Walaubagaimanapun, ini adalah beberapa khasiat daripada kunyit hitam:
1. Kesan Antioksida
Seperti kebanyakan tumbuh-tumbuhan lain, antara khasiat utama kunyit hitam ialah mempunyai kesan antioksida yang dapat menghalang oksidasi sel dalam badan dan pembentukan radikal bebas yang berlebihan. Proses ini penting bagi mencegah rantaian tindak balas yang boleh merosakkan sel dan menyebabkan masalah kesihatan.
Radikal bebas yang berlebihan akan mencetuskan keadaan tekanan oksidatif. Sekiranya keadaan ini berlanjutan, kerosakan DNA dan molekul penting dalam badan berisiko untuk terjadi. Pembentukan radikal bebas yang berlebihan boleh berlaku atas beberapa faktor:
- Asap rokok
- Pencemaran udara
- Paras gula yang tinggi dalam darah disebabkan kencing manis
2. Kesan Anti-radang
Selain mampu menghalang proses oksidasi sel, kunyit hitam juga mempunyai kesan anti-radang yang ketara.
Keradangan adalah tindak balas normal dalam tubuh badan yang menghalang jangkitan serta kecederaan. Walau bagaimanapun, radang yang kronik berisiko menyebabkan kenaikan berat badan serta masalah kesihatan yang lain. Makanan yang mempunyai kesan anti-radang seperti kunyit hitam ini mampu mencegah risiko keadaan tersebut.
3. Mencegah masalah asma
Asma adalah satu masalah kesihatan di mana saluran pernafasan menjadi sempit. Kajian terhadap ekstrak kunyit hitam mendapati ianya dapat memberi kesan pengenduran (relaksan) otot lantas mengurangkan penyempitan salur nafas dan membantu mengawal asma.
4. Memberi kesan analgesik
Kesan analgesik ialah kesan melegakan kesakitan. Salah satu kajian yang pernah dijalankan berkaitan kunyit hitam membuktikan kesan analgesiknya. Dalam kajian tersebut, rasa sakit pada model haiwan telah didapati berkurangan kesan daripada ekstrak kunyit hitam.
Selain itu, melalui kajian yang sama, kunyit hitam didapati mempunyai kesan antipiretik (mengurangkan demam) kerana mampu mengurangkan suhu badan yang tinggi.
5. Mencegah pertumbuhan kulat
Kesan anti-kulat daripada minyak pati kunyit hitam telah dibuktikan melalui kajian sejak pertengahan tahun 70-an. Jangkitan kulat pada kebiasaannya hanya berlaku pada kawasan kulit dan kuku, namun sesetengah daripadanya boleh mengakibatkan keadaan yang lebih serius dan mengancam nyawa seperti pneumonia. Melalui kesan anti-kulat ini, kunyit hitam berupaya mencegah pertumbuhan kulat daripada merebak.
6. Mencegah pertumbuhan bakteria
Ubat antibiotik yang sering diberi di hospital mahupun klinik digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Tetapi tahukah anda, antiobiotik semulajadi juga wujud? Ia terdiri daripada minyak pati dan ekstrak tumbuh-tumbuhan, termasuk kunyit hitam.
Rizom atau bahagian batang pada kunyit hitam bukan sahaja memiliki kesan antioksida yang tinggi, malah turut mempunyai kesan antibakteria. Ia mampu membantutkan pertumbuhan bakteria seperti E. coli dan S. aureus. Akan tetapi masih lagi kurang pembuktian secara klinikal berkenaan kompoun di dalam kunyit hitam mampu membunuh bakteria di dalam badan manusia. Kajian yang disebutkan ini lebih kepada bakteria yang berada di dalam piring petri. Oleh itu, penggunaan kunyit hitam untuk penyembuhan penyakit disebabkan jangkitan bakteria tidak digalakkan.
7. Mengawal gangguan kemurungan
Berdasarkan anggaran, kira-kira 30% daripada golongan dewasa menghidap kemurungan sekali atau lebih semasa hayatnya. Kunyit hitam mempunyai potensi nilai perubatan dalam mengawal gangguan kemurungan. Komponen di dalam tumbuhan ini berupaya melindungi fungsi otak daripada gangguan.
8. Mengawal gejala muntah dan loya
Terdapat satu kajian tentang fungsi mengawal muntah dan loya yang pernah dijalankan terhadap 10 tumbuhan perubatan aromatik, termasuk asam kerenda, kayu manis, serta kunyit hitam. Di akhir kajian ini, kunyit hitam direkodkan sebagai tumbuhan yang mempunyai peratusan tertinggi dalam mencegah muntah dan loya.
Antara khasiat-khasiat kunyit hitam yang lain ialah:
9. Mencegah ulser perut
Ekstrak kunyit hitam yang diberi kepada model haiwan dalam kajian didapati dapat mengurangkan indeks ulser dalam perut haiwan tersebut.
10. Mencegah cacing parasit
Kunyit hitam juga berkesan untuk mencegah serta membunuh cacing parasit. Dalam satu kajian terhadap cacing, kunyit hitam mencatatkan kesan yang paling efektif dalam melumpuh serta membunuh cacing tersebut.
Kesimpulan
Ini adalah beberapa khasiat kunyit hitam yang telah dibuat kajian secara dalam makmal dan juga beberapa kajian pada manusia. Para pembaca masih perlu mendapatkan nasihat daripada doktor jika ingin menggunakan bahan ini terutamanya sebagai ubat-ubatan kerana ia boleh menjadikan sesuatu penyakit itu menjadi semakin teruk ataupun berinteraksi dengan ubat yang pesakit sedang ambil dan menyebabkan kesan sampingan.
Disamping itu, artikel ini juga tidak boleh digunakan untuk mengesahkan faedah kesihatan daripada mana-mana produk makanan kesihatan berasaskan kunyit hitam.