≡ Menu

Wajibkah Menurut Kemahuan Ibu Agar Menceraikan Isteri?

SOALAN

Saya memohon dan merayu kepada mufti untuk menyelesaikan kekusutan yang lama membekam di jiwa saya. Saya telah pun bernikah dengan gadis pilihan saya, Alhamdulillah kami telah dikurniakan dua orang anak. Pernikahan kami bahagia seperti pasangan lain. Namun begitu, ibu saya tidak menyukai isteri saya dan berkali-kali minta saya ceraikan. Ibu saya kali mengatakan beliau tidak halalkan syurga untuk saya selagi saya tidak menceraikan isteri saya.

Apakah wajib saya mentaati ibu saya dalam hal ini?

 

JAWAPAN

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Penceraian adalah suatu perkara yang merungsingkan di negara ini. Kes penceraian meningkat naik saban tahun seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat. Kebanyakan alasan yang dikemukan adalah sangat tidak boleh diterima. Maka, perlu kita teliti persoalan ini, agar kita memahami dengan baik syariat Islam yang berkaitan dengan penceraian.

Untuk memahami isu ini, perlu untuk kita fahami dengan jelas hukum-hakam berkaitan dengan talak. Secara umumnya, talak itu hukumnya halal iaitu dibolehkan untuk melakukannya, namun perbuatan itu dianggap makruh. Ini bermakna syariat mengizinkan talak, namun barang siapa yang meninggalkan atau berusaha menjauhi perkara yang makruh akan mendapat pahala. Hukum talak ini sangat jelas seperti mana yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma:

أَبْغَضُ الْحَلاَلِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى الطَّلاَقُ

MaksudnyaPerkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.”

Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197)

Namun begitu, seperti hukum pernikahan yang mempunyai hukum umum dan khusus, begitulah juga dalam masalah talak. Para fuqaha’ tetap membezakan secara khusus mengikut hal-hal berikut (rujuk al-Mu’tamad (), Nihayah al-Muhtaj ():

  • Wajib Talak wajib dijatuhkan sekiranya telah berlalu tempoh ila’. Rujuk perbahasan ila’ dalam artikel kami sebelum ini yang bertajuk: “Al-Kafi #834: Hukum Berkaitan Men-Ila’ Isteri” Talak juga wajib dijatuhkan apabila pertelingkahan di antara suami isteri telah sampai ke suatu tahap yang paling serius. Kemudian wakil suami dan isteri melihat tidak ada penyelesaian lain melainkan penceraian.
  • al-Nadb atau Sunat Sunat di sini tidak membawa maksud sesuatu yang disandarkan kepada Nabi SAW, tetapi asalnya di dalam bahasa arab al-Nadb iaitu sesuatu yang diperintahkan oleh Allah namun tidak ditekankan kemestian untuk melakukannya. Sekiranya melakukan hal tersebut, akan mendapat pahala, sekiranya tidak melakukan, tidak mendapat dosa. Antara sebab yang menjadikan al-Nadb atau sunat untuk menjatuhkan talak adalah apabila isteri tidak lagi menjalankan tugasdengan baik sebagai seorang isteri, dan bertingkah-laku yang buruk. Hukumnya sunat sahaja kerana wanita yang benar-benar solehah itu umpama gagak putih, sangat sukar ditemui. Selain itu, sunat untuk menceraikan apabila suami tidak mampu memberikan hak isteri. Dalam hal ibu bapa yang minta untuk anak menceraikan isterinya telahpun disebutkan sebahagian ulama’ mazhab al-Syafie antaranya oleh Imam al-Ramli menyatakan bahawa (rujuk al-Mu’tamad (4/139-142) Nihayah al-Muhtaj (6/423):
BACA:  12 Petanda Masyarakat Sedang Tenat, Nauzubillah

أَوْ يَأْمُرُهُ بِهِ أَحَدُ وَالِدَيْهِ: أَيْ مِنْ غَيْرِ نَحْوِ تَعَنُّتٍ كَمَا هُوَ شَأْنُ الْحَمْقَى مِنْ الْآبَاءِ وَالْأُمَّهَاتِ

Maksudnya: (antara perkara yang sunat menjatuhkan talak) diperintahkan kepadanya salah seorang daripada orang tuanya (suami), perintah yang tidak keterlaluan seperti kemahuan ibu bapa yang tidak munasabah dari ibu-bapa.

  • Makruh Perbincangan hukum makruh ini sama seperti perbincangan hukum talak secara umum yang telah disebutkan. Selain itu, sekiranya isteri tidak memerlukan lagi untuk ditanggung oleh suami seperti mampu untuk tanggung menanggung dirinya sendiri, maka termasuk di dalam hukum makruh menceraikan. Mana-mana alasan yang remeh-temeh hingga membawa kepada penceraian adalah makruh.
  • Harus Menjadi harus untuk menjatuhkan talak di atas sebab-sebab munasabah dari sudut pandang syarak. Namun begitu, lebih diutamakan sekiranya suami tidak menjatuhkan berdasarkan hadis yang disebutkan di atas.
  • Haram Talak haram dijatuhkan ketika isteri sedang haidh kecuali isteri yang belum disetubuhi, atau talak isteri yang sedang haidh dengan gantian berupa bayaran dan sebagainya maka tidak dikira haram. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ

Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya,

Surah al-Talaq: 1

Maka jelaslah idah itu tidak boleh dimulakan ketika haidh, maka hukumnya adalah haram sekiranya mentalakkan ketika tempoh haidh. Selain itu, turut haram orang yang menceraikan isteri sesudah menyetubuhinya dan merasakan isterinya akan hamil. Begitu juga talak dengan menzalimi wanita tersebut.

Dalam merungkai persoalan berkaitan tanggungjawab anak dengan ibu bapa, kami telah jawab melalui persoalan sebelum ini, melalui sebuah artikel yang kami tajukkan dengan: Al-Kafi #1114: Ibu Halang Nikahi Gadis Pantai Timur[1].

Dalam artikel ini telah kami bahaskan persoalan berkaitan adab seorang anak dengan ibu bapa yang mana kami nyatakan seperti berikut:

Yang terakhir, perkara yang perlu dirai’kan di dalam persoalan ini ialah adab seorang anak dengan ibu. Kami mengajak untuk kita hayati suatu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ, وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ

Maksudnya: Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa

 Riwayat al-Tirmizi (1900), Ibn Hibban (2026)

 

 

Maka, seperti yang disebutkan dalam hadith di atas, selamanya seorang anak itu wajib mentaati kedua ibu bapa bagi mencapai keredhaan mereka. Namun ketaatan kepada ibu bapa itu juga mempunyai had dan batasnya seperti mana yang disebutkan dalam hadith yang lain, melalui riwayat Saidina Ali RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ ‏

Maksudnya: Tiada ketaatan dalam hal maksiat, sesungguhnya ketaatan itu dalam perkara yang maaruf (kebaikan)

Riwayat al-Bukhari (7257) Muslim (1840)

Kesimpulan

 

Berdasarkan nas dan perbincangan di atas, kami menjawab soalan yang ditanya bahawa adalah tidak wajib untuk mentalakkan isteri apabila disuruh oleh ibu bapa sebagaimana yang diterangkan.

Sebagai umat Islam, kita perlu sering memandang sesuatu dengan mengasingkan hukum dan tanggungjawab. Mentaati dan berbuat baik kepada ibu adalah kewajipan seorang anak, maka terangkanlah dengan baik dan teruskan bersabar dengan mereka di samping mempertahankan rumah tangga yang dibina.

Jangan pula kerana tidak wajib mengikut permintaan mereka dalam menceraikan isteri dek kerana Allah SWT tidak suka akan penceraian, kita melakukan pula perkara yang haram lain, iaitu derhaka kepada mereka. Banyakkanlah berdoa kepada Allah SWT agar dipermudahkan segala urusan rumah tangga.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kefahaman yang baik dalam memahami syariat-Nya seterusnya mengamalkan di dalam kehidupan. Amin.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.