≡ Menu

Wali Dan Keluarga Perlu Main Peranan Untuk Tapis Calon Pasangan Pengantin

Dalam hal mencari jodoh, Rasulullah SAW bersabda: “Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah kamu merebut yang empunya agama, itulah pilihan terbaik.” (HR Bukhari dan Muslim)

Jelas dalam hadis ini, perkara perlu diperhatikan lelaki dalam diri calon pasangan ialah hartanya – kaya atau tidak; keturunannya – apakah dia berasal daripada keturunan baik-baik; kecantikannya – rupa paras dan agamanya – faham dan amalan agamanya.

Namun, Islam menyarankan sebaik-baik pilihan dibuat berdasarkan faktor agama.

Harus diingatkan, dalam hal mencari jodoh, bukan golongan Adam sahaja berhak untuk memilih, wanita juga boleh memilih pasangannya.

Ini jelas dalam hadis Rasulullah SAW: “Apabila datang kepada kamu peminang yang engkau puas hati dengan agama dan kelakuannya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak kamu lakukan, akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan berpanjangan.” (HR Tirmizi)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Melalui hadis kedua ini, Rasululah SAW berpesan kepada wali supaya memilih calon suami untuk anaknya dalam kalangan orang memiliki agama dan akhlak mulia. Calon suami memiliki ciri-ciri ini diharapkan dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga sebaik-baiknya, memelihara hak dan kehormatan ahli keluarga; mendidik isteri dan anak serta menafkahi mereka sewajarnya.

Rujuk pada orang tua

Walaupun dalam Islam, wali boleh berperanan dalam mencarikan jodoh untuk anak perempuannya, dengan peredaran masa, orang muda lebih cenderung memilih jodoh sendiri.

Ibu bapa juga tiada halangan dengan perkembangan ini kerana apabila anak-anak memutuskan untuk berkahwin, mereka akan merujuk orang tua masing-masing. Begitulah tuntutan agama dan budaya kita.

BACA:  COVID-19: Saudi Gantung Kemasukan Jemaah Umrah

Kata orang, jodoh itu rahsia Allah SWT. Ada mencari dan berjumpa. Ada mencari, tetapi tidak bersua. Ada tidak mencari, tetapi jodoh hadir di depan mata. Ada bercinta bertahun lamanya, tetapi jodoh tiada. Ada berkenalan tiga bulan sahaja, terus menikah, mengecap bahagia.

Bagi mereka yang bertemu jodoh, semoga kekal hingga ke Jannah. Kepada belum bertemu jodoh, terpulang pada diri masing-masing. Jika pasrah dan berserah, alhamdulillah tetapi andainya masih mengharapkan adanya pasangan melengkapi hidup anda, teruskan usaha. Jika penat berusaha sendiri, kembalikan fungsi wali untuk mencarikan bakal isteri atau suami.

Kadang-kala ibu bapa sendiri tidak tahu peranan mereka dalam hal ini lantas mengambil sikap berdiam diri, melihat dan menanti. Apabila anak memasuki usia 30-an, mereka masih memerhati. Mereka biarkan anak sibuk mengejar kerjaya, mengumpul harta dan menikmati kehidupan dengan penuh percaya anak mereka baik-baik sahaja walaupun belum berumahtangga.

Apabila ibu bapa tidak berkata apa-apa, anak-anak beranggapan mendirikan rumah tangga bukanlah sesuatu utama. Justeru, orang lain tidak perlu sibuk-sibuk bertanya bilakah hari bahagia kerana ibu bapanya sendiri tidak pernah mempersoalkannya.

Sesungguhnya, berkahwin itu ialah sunnah Rasulullah SAW. Baginda bersabda: “Sesiapa mampu (mempunyai kelebihan) untuk berkahwin, tetapi dia tidak berkahwin, maka bukanlah dia daripada golonganku.” (HR Thabarani dan Baihaqi)

Sebenarnya, dalam masyarakat kita, ada satu lagi ruang mendapatkan bantuan mencari jodoh. Apabila keluarga besar berkumpul untuk kenduri-kendara atau perayaan, akan sentiasa ada mak cik yang suka bertanya: “Eh, engkau ni bila lagi nak kahwin?”

BACA:  Rajin Gosok Gigi Tapi Tetap Kuning, Ketahui Makanan Yang Menyebabkan Ini Berlaku

Mak cik seperti ini wujud dalam semua masyarakat yang masih percaya kepada institusi perkahwinan. Keadaan ini menjadi kawalan sosial untuk memastikan kelangsungan keluarga dan keturunan kita yang hanya boleh berlaku melalui perkahwinan.

Percaya kepada qada dan qadar

Malangnya, kehadiran golongan ini dianggap menyusahkan, mengganggu emosi dan menimbulkan tekanan sedangkan niat mereka baik, mengajak orang muda ‘mendirikan masjid’ serta hidup mengikut sunah.

Kehadiran mak cik seperti ini sering disalahertikan hingga ada pihak mengingatkan agar mereka ini berhenti bertanyakan soalan terbabit ketika musim perayaan. Malah, ada ‘memberi’ tips agar soalan itu dijawab sinis: “Boleh saya menumpang kasih dengan suami mak cik?”

Sepatutnya, keprihatinan golongan itu boleh sahaja dibalas dengan berkata: “Boleh mak cik tolong carikan jodoh baik untuk saya?”

Namun pada akhirnya kita perlu percaya kepada qada dan qadar. Sebagai hamba, ada jodoh atau tidak, kita perlu reda dengan ketentuan-Nya. Apapun ketentuan-Nya, itulah yang terbaik untuk kita kerana terkandung hikmah tidak dapat kita fahami.

Sebagai agama syumul, Islam menyediakan panduan untuk pelbagai perkara termasuk mencari jodoh. Selain menyenaraikan kriteria pemilihan jodoh, Islam juga menekankan peranan wali.

Semua ahli keluarga perlu memahami persoalan pemilihan jodoh dalam Islam supaya semua mereka boleh menjalankan peranan sebaik mungkin.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.