
AL-QURAN merupakan kalam ALLAH yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW secara mutawatir (bersambung). Ia terkandung dengan pelbagai isi.
Antaranya seperti kisah ibadah, sejarah, ilmu pengetahuan, cerita umat terdahulu, hari akhirat, pembalasan, dosa, pahala dan banyak lagi.
Seseorang akan diberi pahala yang tidak terhitung daripada-NYA jika membaca setiap ayat dengan hati tulus dan ikhlas.
Daripada Ibnu Mas‘ud RA Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa membaca satu huruf dari kitab ALLAH (al-Quran), maka baginya satu hasanah (kebaikan) dan satu hasanah itu sama dengan 10 kali lipatnya. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.“ (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Menyentuh tentang al-Quran, salah satu cara untuk mendapat ganjaran yang besar dan berpanjangan di dunia juga di akhirat adalah melalui wakaf. Apakah fadilat di sebalik melakukan wakaf al-Quran? Apa cara terbaik untuk mewakafkan kitabullah? Di mana lokasi yang sesuai untuk berbuat demikian, selain di masjid dan sekolah pondok?
Mekanisme pelaksanaan
wakaf al-Quran adalah bermaksud suatu dana yang dikumpulkan untuk pembelian kitab suci untuk diletakkan di suatu tempat agar dapat dibaca oleh sesiapa sahaja.
Para pewakaf akan mendapat pahala setiap kali ada pembaca menggunakan al-Quran tersebut. Ia merupakan usaha yang mulia dan perlu diperluaskan ke tempat-tempat yang sukar untuk mendapatkan kitab suci itu.
Pun demikian, tatacara pengendalian al-Quran yang diwakafkan perlu ditetapkan dengan jelas agar kehormatannya terpelihara, tidak rosak dan boleh digunakan berulang kali agar pahala individu yang berwakaf sentiasa berterusan,
amalan mulia tersebut telah wujud pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Kemuncak kepada pelaksanaan wakaf selepas turunnya ayat 92, Surah Ali Imran.
Antara sahabat baginda yang bersegera menyahut saranan agung itu ialah Saidina Umar Al-Khattab RA. Beliau telah meminta pandangan Rasulullah berkaitan harta yang paling disayanginya iaitu sebidang tanah di Khaibar yang nilainya amat tinggi sekali.
Asas menjalankan proses wakaf boleh difahami berdasarkan jawapan baginda kepada Saidina Umar al-Khattab. Rasulullah bersabda: “Tahanlah pokoknya dan bersedekahlah dengannya (iaitu manfaatnya).“
Berdasarkan hadis tersebut, para ulama meletakkannya sebagai konsep asas ibadah wakaf iaitu tahbis al-asl bermaksud menahan pokok atau asas harta daripada rosak atau musnah dan tasbil al-thamarah (menyalurkan buah atau manfaat harta kepada penerima wakaf).
Dalam konteks wakaf al-Quran, asas harta iaitu al-Quran ‘ditahan‘ (dipelihara dengan baik), manakala manfaat untuk membaca kalamullah tersebut disalurkan kepada orang ramai.
Wakaf al-Quran tidak pernah dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW kerana kitab suci tersebut masih dalam proses penurunan secara beransur-ansur melalui wahyu.

“Begitu juga pada era para sahabat kerana mushaf al-Quran masih lagi terpisah antara satu sama lain dan tidak dikumpulkan. Semua para sahabat menghafal al-Quran di dalam dada mereka dengan penuh amanah. Sejarah mencatatkan sehingga 700 orang yang menghafaz ayat suci al-Quran gugur syahid dalam Perang al-Yamamah.
“Peristiwa ini telah menyebabkan Saidina Umar al-Khattab mengemukakan cadangan kepada Khalifah Abu Bakar al-Siddiq supaya memulakan usaha pengumpulan al-Quran,“.
Saidina Zaid bin Thabit RA kemudian telah dilantik untuk menyalin semula kitab agung itu, maka terhasillah kalamullah yang pertama dalam bentuk lembaran Suhuf.
Walaupun amalan wakaf al-Quran tidak pernah dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat RA, itu tak bermaksud ia tidak boleh dilakukan pada era ini. Konsep asas pelaksanaannya adalah berdasarkan instrumen wakaf yang jelas dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat,.
Sesungguhnya, kata agamawan tersebut, sekiranya ibadah mulia itu disemarakkan, ia akan menjamin pahala berpanjangan bagi pelaksananya.
“Pun demikian, seperti yang saya katakan tadi, mekanisme (pelaksanaannya) perlu dirancang dengan teliti dan mengambil kira aspek tahbis al-asl iaitu mengawal harta wakaf tersebut daripada rosak atau musnah, termasuk juga tempoh ketahanan agar manfaat diperoleh untuk tempoh masa lama.
“Aspek kedua adalah tasbil al-thamarah (penyaluran manfaat harta) iaitu sasaran penerima manfaat. Penentuan perlu dilakukan kerana sasaran tepat akan memaksimumkan kegunaan, mengelakkan pembaziran sumber dan meluaskan penyebaran manfaat kepada segenap masyarakat,“.
Dengan berwakaf, ia juga mampu memperkenalkan al-Quran kepada orang bukan Islam, khususnya golongan yang tidak memahami dan memusuhi agama suci ini gara-gara kekurangan ilmu.
Dengan memperkenalkan kitab suci umat Islam melalui cara ini, ia akan memberikan gambaran yang jelas mengenai segala ajaran dan mukjizat yang terkandung di dalamnya. Secara tak langsung, pendekatan itu membantu sebar luaskan al-Quran kepada orang ramai agar lebih mengenali kitab teristimewa ini,“.
Adalah diharuskan untuk mewakafkan al-Quran kepada orang yang telah meninggal dunia. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (wakaf) atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.“ (Hadis Riwayat Imam Muslim, al-Nasa‘i, al-Tirmizi dan Abu Daud)
