≡ Menu

Yang Penting Akhlak, Rasulullah Diturunkan Untuk Menyempurnakan Akhlak Yang Baik

Manusia adalah makhluk Allah SWT yang diciptakan dengan keperluan untuk berurusan dengan orang lain dalam mengurus kehidupan seharian.

Setiap hari kita pasti akan berurusan dengan orang lain. Tidak ada insan yang hidup bersendirian dalam dunia ini. Islam amat mementingkan hubungan antara manusia dengan Allah SWT, dan pada masa yang sama turut menitikberatkan hubungan manusia dengan semasa manusia.

Rasulullah SAW menjelaskan kepentingan memiliki akhlak yang mulia menerusi sebuah hadis yang maksudnya: “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, iringilah keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapusnya dan berurusanlah sesama manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Mutakhir ini, manusia giat memanfaatkan gajet canggih dan komunikasi maya. Seolah-olah tidak sah kehidupan seharian tanpa berinteraksi dengan telefon pintar masing-masing. Akhirnya ada dalam kalangan manusia yang gagal mengawal akhlak dalam diri sendiri. Terdapat individu yang menzahirkan kelakuan tidak baik tatkala menggunakan media sosial sehingga meruntuhkan hubungan baik semasa manusia.

Allah SWT menjelaskan perihal kepentingan akhlak dalam diri manusia, termasuk pada diri Rasulullah SAW. Firman Allah SWT dalam al-Quran ber   maksud: “Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah al-Qalam, ayat 4)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat bagi timbangan seorang mukmin pada hari Kiamat daripada akhlak yang baik. Sesungguhnya Allah tidak menyukai kekejian, bahawasanya orang yang berakhlak mulia akan mencapai martabat orang berpuasa dan bersembahyang.” (Hadis riwayat Ahmad)

Selain itu, ada sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya: “Sesungguhnya yang paling baik di antara kalian ialah orang yang paling baik akhlaknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Semua dalil jelas ini menunjukkan kepentingan memiliki budi pekerti mulia bagi mencerminkan ketinggian agama Islam yang mementingkan akhlak. Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan bahawa Islam amat mementingkan akhlak sebagai salah satu daripada tunjang agama selain daripada aspek akidah dan ibadah.

Aspek akhlak bukan satu perkara boleh dipandang remeh hanya kerana perbincangan mengenainya dibuat selepas akidah dan ibadah. Bukti yang jelas boleh dilihat apabila pelaksanaan rukun Islam berkait rapat dengan akhlak.

BACA:  7 Tanggungjawab Selepas Perceraian

Contohnya ibadah solat fardu lima waktu yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim. Allah SWT menjelaskan bahawa pelaksanaan ibadah solat mempunyai tujuan yang dapat mencegah diri daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Firman Allah SWT bermaksud: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar…” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Begitu juga dengan ibadah puasa yang saban tahun ditunaikan pada bulan Ramadan. Dalam pelaksanaan ibadah puasa, Islam turut menegaskan keperluan memelihara akhlak sehingga mutu puasa boleh terjejas sekiranya seseorang gagal mengawal diri dengan melakukan perbuatan yang buruk.

Seseorang yang berpuasa tidak dibenarkan sama sekali mengucapkan kata-kata yang buruk lebih-lebih lagi apabila melibatkan orang lain. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan yang buruk, maka tidak ada erti bagi Allah perbuatan orang itu yang meninggalkan makanan dan minumannya (berpuasa).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ibadah zakat ada kaitan dengan akhlak manusia. Harta yang dikeluarkan orang berkemampuan dan diberi kepada golongan memerlukan satu bentuk usaha menyerlahkan akhlak mulia dalam diri umat Islam. Ibadah zakat mampu menyuburkan sifat kasih sayang dan belas ihsan sesama manusia. Akhirnya golongan yang kaya terus menyayangi golongan yang serba kekurangan, manakala golongan yang serba kekurangan pula tidak sama sekali berasa iri hati dengan kekayaan orang lain.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah At-Taubah, ayat 103)

Selain itu, ibadah haji yang turut termasuk dalam rukun Islam amat mementingkan elemen akhlak dalam pelaksanaannya.

Setiap orang yang menunaikan haji menginginkan ibadahnya diterima oleh Allah SWT. Maka untuk mencapai hasrat tersebut mereka perlu memelihara akhlak agar dapat memastikan ibadah haji diterima oleh-Nya.

BACA:  Jual Nasi Lemak Raih RM400,000 Sebulan Dengan Modal RM3,000

Setiap jemaah haji dilarang untuk melakukan maksiat dan bertengkar dengan sesama jemaah haji yang lain. Meskipun ibadah haji menggariskan amalan-amalan yang dapat mendekatkan diri secara langsung kepada Allah SWT, namun jemaah haji tidak boleh mengabaikan keperluan menjaga hubungan baik sesama manusia.

Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji…” (Surah Al-Baqarah, ayat 197)

Sebagai orang Islam, kita berharap agar dapat mengecapi nikmat syurga di akhirat nanti. Harapan ini memerlukan usaha yang kuat dengan menjadikan ajaran termaktub dalam al-Quran dan hadis sebagai panduan. Terdapat sebuat hadis yang menjelaskan bahawa orang yang bertakwa dan memiliki akhlak terpuji termasuk dalam kalangan kelompok yang paling ramai memasuki syurga.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Orang yang paling ramai dimasukkan ke dalam syurga ialah kalangan yang bertakwa kepada Allah dan memiliki akhlak yang mulia.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Marilah kita menjaga akhlak dan keperibadian diri sendiri pada setiap masa sejajar dengan tuntutan Islam.

Orang lain sentiasa memerhatikan tingkah laku umat Islam sama ada untuk jadikan kita sebagai contoh atau boleh jadi mereka ingin mencipta fitnah terhadap Islam kerana masih ada umat Islam yang gagal memiliki akhlak yang baik.

Rasulullah SAW contoh ikutan terbaik, tiada insan lebih baik selain daripada baginda. Doa pernah diajarkan baginda berkaitan akhlak mulia bermaksud: “Ya Allah, tunjukkanlah aku akhlak yang paling baik, kerana tidak ada yang boleh menunjukkannya melainkan-Mu. Dan jauhkanlah aku daripada akhlak yang buruk, kerana tidak ada yang mampu menjauhkannya daripadaku selain daripada-Mu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.