وَأَنۡ أَقِیمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَٱتَّقُوهُۚ وَهُوَ ٱلَّذِیۤ إِلَیۡهِ تُحۡشَرُونَ
“Dan (diperintahkan): Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepadaNya, dan Dia lah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak)” [Surah al-An`am 72]
Sambung bicara tentang solat sunat rawatib. Perbahasan kali ini berkaitan solat sunat rawatib yang tidak Muakkad. Walaupun tidak Muakkad namun terdapat hadis yang menganjurkannya. Maka sesiapa yang ingin melakukanya, dipersilakan. Bagi yang tidak mahu melakukannya maka tiada sebarang paksaan.
Antara hadis khusus yang meriwayatkan anjuran untuk mengerjakan solat qabliyah Asar sebanyak empat rakaat ialah hadis yang diriwayatkan daripada Sayidina Ibnu Umar r.a, Rasulullah saw bersabda:
رَحِمَ اللَّهُ امْرَأً صَلَّى قَبْلَ الْعَصْرِ أَرْبَعًا
“Allah swt mengasihi orang yang mengerjakan solat empat rakaat sebelum Asar” (Sunan at-Tirmizi)
Selain itu, solat sunat qabliyah Maghrib juga tergolong dalam solat tidak Muakkad. Namun terdapat hadis dan perbahasan ulamak dalam melakukannya.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mughaffil al-Muzani r.a, bahawasanya Nabi saw telah bersabda:
صَلُّوا قَبْلَ صَلاَةِ الْمَغْرِبِ. – قَالَ فِي الثَّالِثَةِ – لِمَنْ شَاءَ كَرَاهِيَةَ أَنْ يَتَّخِذَهَا النَّاسُ سُنَّةً
“Solatlah sebelum maghrib”.
Nabi saw mengulangnya sebanyak 3 kali dan pada kali yang ke 3 Nabi saw menyebut: “Bagi mereka yang ingin melakukannya”. (Rasulullah saw berkata demikian kerana Baginda tidak mahu ianya dijadikan sebagai satu sunnah yang berterusan)” (HR al-Bukhari Bukhari)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah di dalam kitabnya, Fathul Bari membawakan pendapat al-Muhib al-Tabari rahimahullah yang mana menyebut bahawa hadis di atas menjadi dalil yang kuat mengatakan bahawa solat sunat dua rakaat sebelum Maghrib adalah sunat yang mana bermaksud ianya disyariatkan namun tidaklah dilakukan secara lazimnya. Disebabkan oleh itu, kebanyakan as-Syafi’eyyah tidak memasukkannya ke dalam jenis solat sunat rawatib yang dituntut untuk melakukannya (sunat muakkad)”.
Dalam sebuah hadis yang lain, pernah disebutkan oleh Sayidina Anas bin Malik r.a:
كُنَّا بِالْمَدِينَةِ فَإِذَا أَذَّنَ الْمُؤَذِّنُ لِصَلاَةِ الْمَغْرِبِ ابْتَدَرُوا السَّوَارِيَ فَيَرْكَعُونَ رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ حَتَّى إِنَّ الرَّجُلَ الْغَرِيبَ لَيَدْخُلُ الْمَسْجِدَ فَيَحْسِبُ أَنَّ الصَّلاَةَ قَدْ صُلِّيَتْ مِنْ كَثْرَةِ مَنْ يُصَلِّيهِمَا
“Adalah kami di Madinah, jika dilaungkan azan oleh muazzin untuk solat Maghrib, maka bersegeralah kami ke tiang-tiang masjid dan solat dua rakaat sehingga orang asing yang masuk ke masjid menyangka solat yang dilakukan itu adalah solat fardhu kerana ramai yang melakukannya” (HR Muslim)
Disebutkan di dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e tulisan Prof. Dr. Muhammad al-Zuhayli Hafizahullah berkata: “Bagi mereka yang ingin melakukan solat sunat sebelum maghrib maka hendaklah dilakukan dua rakaat yang ringan (tidak terlalu lama di dalam rukun, sunat dan adab solat) sehingga boleh melewatkan solat maghrib kerana waktu maghrib itu sangat singkat”.
Begitu juga solat sunat qabliyah Isyak. Solat sunat dua rakaat sebelum sembahyang fardhu Isyak dilakukan berdasarkan umum hadis Rasulullah saw:
بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ ثَلاَثًا لِمَنْ شَاءَ
“Di antara azan dan iqamah itu ada solat (sunat). Baginda mengulanginya hingga tiga kali- bagi yang menghendakinya” (Sahih al-Bukhari)
Semoga Allah swt memberikan kefahaman yang benar kepada kita dalam mengamalkan tuntutan agama.
Sebagai seorang hamba yang taat, yang terbaik adalah kita perbanyakkan solat sunat semampu mungkin tanpa mengira samada ia muakkad ataupun tidak muakkad