≡ Menu

Zikirlah! Zikir Itu Lebih Baik Dari Seisi Dunia.

Dunia yang kita lihat ini dan segala yang terkandung di dalamnya: bangunan, tanaman, ternakan, alat pengangkutan, harta karun, emas perak, intan permata dan segala benda lain yang amat menguja itu, apakah ada lagi yang lebih nilainya dan boleh membahagiakan?

Rasulullah SAW menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: “Sebenarnya mengucapkan ‘subhanallah, walhamdulillah, wa la Ilaha illallah, wallahu Akbar’ itu lebih aku sukai daripada alam sarwajagat ini.” (Hadis riwayat Muslim)

Sabda ini ditujukan kepada mereka yang memancang kemas slogan ‘dunia adalah matlamat’  atau ‘dunia hanya kau yang satu’  ke lubuk hatinya dan bekerja keras siang malam demi mencapai impiannya. Kepada merekalah ditegaskan bahawa zikir jauh lebih baik daripada dunia yang dijadikan matlamat terakhir hidup.

Hadis ini juga menyampaikan pesan bahawa Rasulullah SAW lebih suka mengucapkan zikir tersebut daripada mengumpulkan harta duniawi dan memilikinya. Menurut Ibnu Hajar, ‘lebih aku sukai’ yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah suka kerana pahalanya yang banyak dan kekal berbanding dengan dunia seisinya yang bersifat sementara dan tidak kekal.  (Mirqah al-Mafatih: 4:1593)

Alangkah untungnya kita! Hanya dengan mengucapkan zikir yang mudah dihitung, dijanjikan ganjaran yang tidak terhitung. Dilakukan kerja yang tidak membebankan, dianugerahi pahala yang digandakan.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Inilah Islam, agama indah yang tidak hanya menjanjikan ganjaran yang besar kepada amal yang berat. Terkadang amal yang sedikit lebih besar pahalanya daripada melakukan amal yang banyak. Kenapakah begitu? Kerana pahala itu diberikan sesuai dengan tahap kemuliaan amal dan zikrullah (mengingati Allah) itu termasuk dalam amal yang paling mulia. (Qawa`id al-Ahkam: 1/35-36)

Sementelahan pula semua amal atau hasanah lain seperti infak dan menentang musuh adalah wasilah atau perantara untuk mendekatkan diri kepada Allah, sedangkan zikrullah itu sendiri tidak lagi berada pada tahap wasilah tetapi telah sampai kepada tujuan teragung. (al-Taysir: 1/401)

Amal disertai zikir

“Dahsyatnya zikir, Mama!” Kedengaran suara Ahmad Aqiel yang sedang berada di ruang tamu. Ibunya Siti Aminah yang sedang menyiapkan persediaan mengajar subjek Bahasa Inggeris untuk kelas online bergegas keluar. “What’s up, Aqiel?” Tanya si ibu. “Ni mama, saya baca pasal zikrullah. Pahala zikir ni besar sangat mama! Kalau sibuk bekerja macam mama dan ayah, bagaimana nak tumpukan kepada zikrullah?”

BACA:  “Kalau Bau Klorin Kuat Sangat, Itu Biasanya Klorin Dah Banyak Bercampur Dengan ‘Najis’,” Jangkitan Penyakit Di Kolam Renang, Ibu Bapa Perlu Waspada

Ahmad Effat Mokhtar yang baru menyelesaikan wirid hariannya menuju ke ruang tamu sambil berkata: “Aqiel, kerja pun boleh ingat Allah kan? Amati kata-kata ini: “Sebenarnya yang paling afdal dalam kalangan orang yang melakukan sesuatu amal baik ialah mereka yang paling banyak berzikir atau mengingati Allah SWT ketika melakukan amal tersebut. Jadi, orang yang paling utama dalam kalangan orang yang berpuasa ialah yang paling banyak mengingati Allah ketika berpuasa, yang paling utama dalam kalangan mereka yang bersedekah ialah yang paling banyak mengingati Allah dan yang paling utama dalam kalangan mereka yang menunaikan haji ialah yang paling banyak mengingati Allah SWT. Begitu jugalah dengan amalan yang lain.” (al-Wabil al-Sayyib: 75)

Cara peroleh pahala zikir

Kata Imam Ibnu Hajar: “Terkadang zikir juga terealisasi melalui lisan dan orang yang mengucapkannya diberikan ganjaran tanpa disyaratkan untuk dia menghayati makna zikir tersebut. Namun (untuk mendapatkan ganjaran pahala) disyaratkan agar tidak dikasadkan makna lain selain makna zikir itu. Sekiranya zikir dengan sebutan lidah itu tergabung pula dengan zikir yang terbit dari hati maka itulah yang lebih sempurna. Andainya zikir lisan dan hati itu disertai pula dengan pengamatan maknanya, pengagungan terhadap Allah dan penafian segala kekurangan daripada-Nya maka sudah tentu akan bertambah-tambah lagi kesempurnaan zikir tersebut…”  (Fath al-Bari: 11/209)

Kata-kata Imam Ibnu Hajar memberi sinar harapan kepada kita yang terkadang mengucapkan zikir tanpa perasan kepada maknanya. Ya, sekurang- kurangnya kita dapat ganjaran pahala berzikir selama kasad kita tidak menerawang langit, tetapi tertumpu pada zikir tersebut. Kendatipun begitu, Alang-alang berdakwat biar hitam! Alang-alang berzikir biar penuh berganjaran! Kalau begitu, elok diamati makna zikir dan dipraktikkan saranan Ibnu Hajar agar zikir kita berada pada martabat tertinggi.

Maksud kalimah zikir

Ketika kita mengucapkan ‘subhanallah’ (Maha Suci Allah) kita kasadkan dalam hati, tiada keaiban dan kekurangan pada Allah SWT.

Semasa alhamdulillah (puji-pujian bagi Allah) disebut, kita letakkan dalam hati bahawa segala kesempurnaan itu kepunyaan Allah SWT, tiada tandingan bagi-Nya.

Semasa ucapan ‘La Ilaha illallah’ pula kita iktikadkan tiada yang disembah dengan hak kecuali Allah SWT. Allah sekali-kali tidak memerlukan kita sebagai makhluk sedangkan kita perlu kepada Allah dalam semua keadaan.

BACA:  Berhati-Hati Dalam Menyampaikan Berita. Silap-Silap Jatuh Fitnah

Ketika menyebut Allahu Akbar pula,  kita sematkan kukuh dalam hati Allah itu Maha Besar. Besar dan agung zat dan sifat-Nya serta suci daripada segala kekurangan dan keaiban. Kita iktikadkan juga besarnya Allah itu bukanlah besar seperti makhluk yang mempunyai jasad jisim kerana Allah tidak seperti makhluk. (Aqidah al-Juzuli: 78)

Rahsia tertib zikir

Dari sudut urutan kalimah zikir pula, kita mulakan dengan menyebut subhanallah yang bererti kita menyucikan Allah daripada segala sifat kekurangan. Dalam ilmu tauhid ia dinamakan al-tanzih. Kita juga menidakkan atau mengosongkan Allah SWT daripada segala sifat yang tidak layak bagi-Nya yang kita namakan sebagai al-takhliyah.

Setelah kita membersihkan Allah daripada segala kecelaan, kita iringi pula dengan al-Ithbat iaitu menetapkan segala pujian, keesaan dan kebesaran kepada-Nya yang juga dinamakan sebagai al-tahliyah iaitu mengenakan sifat kesempurnaan kepada Allah.

Setelah kita menegaskan hanya Allah yang memiliki kesempurnaan maka Dialah yang berhak disembah, kepada Dialah sepatutnya kita tunduk. Lalu kita ucapkan: la ilaha illallah yang menunjukkan hanya Allah Yang Maha Esa berhak disembah.

Allah sahaja yang berhak disembah menandakan Dialah yang Maha Besar. Kebesarannya mengatasi segala sesuatu. Daripada itu, terserlah pula erti pengucapan zikir terakhir iaitu Allahu Akbar.

Walau bagaimanapun, dalam hadis sahih yang lain, Rasulullah SAW ada mengatakan tidak mengapa sekiranya ia diucapkan tanpa diraikan urutan di atas kerana zat Allah SWT itu memang Maha Suci daripada segala sifat yang buruk. (Subul al-Salam: 2/706)

Dunia ini tempat beribadat juga tempat bekerja untuk akhirat. Islam tidak menghalang kita kumpulkan harta tapi jangan sampai harta menjadi tuan, kita menjadi hamba sehingga terabai kewajipan agama. Harta dicari untuk dipenuhi keperluan hidup dan disumbangkan kepada yang memerlukan. Jika ibadat dan kerja kita hiaskan dengan zikrullah atau hati yang mengingati Allah, maka itulah yang terbaik. Yang dicela syarak ialah kita menjadikan dunia sebagai matlamat hidup seolah-olah ingin tinggal kekal di dalamnya. Islam tidak meremehkan kedudukan dunia tetapi memberi ingatan kepada mereka yang menunggang dunia hingga ke nafas terakhir tanpa mengambil kira negeri akhirat.

Ya Allah, kami berusaha mendapatkan zikir lisan dan hati, mohon dibukakan jalan tanpa henti.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.