≡ Menu

Hukum Menggantung Gambar Di Dinding Rumah. Adakah Dibenarkan Dalam Islam?

Mesti ramai dalam masyarakat Islam di Malaysia tertanya-tanya, apakah hukum gantung gambar dalam rumah? Boleh ke menggantung gambar manusia di dinding rumah yang diambil menggunakan kamera bagi tujuan perhiasan atau kenangan? Mari lihat jawapannya di bawah. Semoga dapat menjawab persoalan di minda semua.

HUKUM GANTUNG GAMBAR DALAM RUMAH

Berdasarkan fatwa Wilayah Persekutuan 2021 dapat disimpulkan, menangkap gambar fotografi dengan menggunakan alat seperti kamera (bukan seperti perbuatan melukis), dan perbuatan ini dianggap sebagai menangkap bayang maka perbuatan ini diharuskan. Hukum ini berkekalan selama mana gambar yang diambil adalah bertujuan sebagai perhiasan di rumah untuk kenang-kenangan.

Sekiranya menggantung gambar tersebut bertujuan untuk penyembahan dan mengagungkan maka perbuatan tersebut diharamkan.

Justeru itu, perbuatan menggantung gambar fotografi di dinding rumah atau disusun sebagai perhiasan di rumah mahupun pejabat adalah suatu perbuatan yang dibenarkan dalam agama.

Tambahan pula, hukum menggantungkan gambar fotografi ini berkait rapat dengan hukum melakar atau melukis makhluk hidup. Para ulama berbeza pandangan antara mengharamkan atau mengharuskannya. Di mana, dapat disimpulkan;

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Melukis atau mengukir gambar makhluk hidup dengan tujuan penyembahan atau mengagungkannya adalah diharamkan kerana dikhuatiri menjadi bahan mensyirikkan Allah SWT seperti yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Imam Ibn al-‘Arabi menyebut di dalam tafsirnya:

BACA:  Selawat Atau Zikir Yang Lebih Tinggi Darjatnya? Baca Penjelasan Ini

“Apa yang dilakukan oleh golongan Arab Jahiliyyah apabila menyembah patung dan berhala, lalu mereka mengukir dan menyembahnya, maka Allah SWT menutup atau memelihara pintu kerosakan (dengan mengharamkan lukisan)…larangan melakar, dan dinyatakan bahawa sebab pengharamannya adalah menyerupai sifat penciptaan Allah SWT, dan terdapat penambahan sebab pengharaman menyembah selain daripada Allah SWT pada perbuatan itu.”

(Rujuk: Ahkam al-Quran li Ibn al-‘Arabi, 4/9)

MENGGANTUNG GAMBAR MENGGUNAKAN KAMERA

Mengambil gambar dengan menggunakan kamera ialah suatu proses menangkap bayang dengan cara yang khusus dan tertentu. (Rujuk: Al-Jawab al-Syafiy Fi Ibahati al-Taswir al-Fotografi, 35)

Menurut Syeikh Ali al-Sayis hukum sesuatu yang dipanggil sebagai penggambaran matahari atau fotografi tidak sama seperti lukisan gambar, tetapi ia bagaikan penangkapan bayang yang mana ia seperti hasil objek yang terpapar melalui cermin. (Rujuk: Tafsir Ayat Ahkam, 4/58)

Hal ini kerana gambar fotografi terhasil daripada proses tangkap bayang dengan cara yang tertentu dengan menggunakan alat iaitu kamera. Oleh disebabkan itu, terdapat sebahagian ulama yang mengharuskan perbuatan bergambar fotografi dan tiada larangan daripada menggantungkan gambar tersebut di rumah dan selain daripadanya. Perbuatan ini dibenarkan sekiranya gambar tersebut tidak menyebabkan berlaku fitnah seperti gambar perempuan yang memperlihatkan bahagian anggota badan selain daripada muka dan kedua-dua pergelangan tangannya. (Rujuk: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/676)

BACA:  Menuntut Sesuatu Di Luar Kemampuan Suami, Apakah Pandangan Syarak? Ini Penjelasan Mufti

Oleh itu, mengambil dan menggantung gambar di dinding bukan kerana tujuan yang diharamkan seperti yang dinyatakan maka perbuatan tersebut dibenarkan. Tambahan pula, sesuatu hukum ditetapkan bergantung kepada kewujudan sebab ia ditetapkan, sepertimana hukum haram disabitkan dengan wujud sebab pengharamannya pada sesuatu perbuatan. Jika tiada sebab pengharamannya maka hukumnya tidak jatuh haram. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

“Sesuatu hukum berlegar bersama-sama illahnya ketika ia ada dan tiada.”

(Rujuk: Risalah Latifah Jami’ah fi Usul al-Fiqh al-Muhimmah, 1/105)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas dapat difahami bahawa perbuatan mengambil dan menggantung gambar diharuskan sekiranya perbuatan tersebut bebas daripada tujuan penyembahan dan mengagungkan makhluk. Hal ini kerana perbuatan tersebut mempunyai unsur syirik kepada Allah SWT. Terdapat fatwa yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta al-Masriyah juga bersamaan dengan pendapat yang disimpulkan ini.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.