≡ Menu

Ini Cara Islam Dalam Menentukan Kriteria Mencari Jodoh. Baca Dan Fahami Sedalam-Dalamnya

Dalam hal mencari jodoh, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Seorang wanita dinikahi kerana empat (4) sebab: Kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya.  Maka hendaklah kamu merebut yang empunya agama, itulah pilihan terbaik.” (HR Bukhari dan Muslim)

Jelas dalam hadis ini bahawa dalam usaha mencari pasangan, perkara yang perlu diperhatikan oleh kaum lelaki dalam diri calon pasangan itu ialah hartanya—kaya atau tidak; keturunannya—apakah dia berasal dari keturunan yang baik-baik; kecantikannya—rupa paras;  dan, agamanya—faham dan amalan agamanya.  Namun, Islam menyarankan bahawa sebaik-baik pilihan adalah pilihan yang dibuat berdasarkan kepada kepada faktor agama.

Dalam hal mencari jodoh ini, bukan kaum Adam sahaja yang berhak untuk memilih, kaum wanita juga berhak untuk memilih pasangannya.  Perkara ini jelas dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Apabila datang kepada kamu peminang yang engkau puas hati dengan agama dan kelakuannya, maka kahwinkanlah dia.  Jika tidak kamu lakukan, akan berlaku fitnah di atas muka bumi, dan kerosakan yang berpanjangan.” (HR At-Termidzi)

Melalui hadis kedua ini, Rasululah SAW berpesan kepada para wali supaya memilih calon suami untuk anaknya dalam kalangan orang yang memiliki agama dan akhlak yang mulia.  Calon suami yang memiliki ciri-ciri ini diharapkan dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dengan sebaik-baiknya, memelihara hak-hak dan kehormatan ahli keluarga; mendidik isteri dan anak-anak serta menafkahi mereka sewajarnya.

Walaupun dalam Islam wali boleh berperanan dalam mencarikan jodoh untuk anak perempuannya, namun dengan peredaran masa, orang muda lebih cenderung memilih jodoh mereka sendiri.  Ibu bapa juga tiada halangan dengan perkembangan ini kerana pada akhirnya, apabila anak-anak memutuskan untuk berkahwin, mereka akan merujuk ibu bapa masing-masing kerana itulah tuntutan agama dan budaya kita.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Kata orang, jodoh itu rahsia Allah.  Ada yang mencari dan berjumpa. Ada yang mencari, tetapi tidak bersua.  Ada yang tidak mencari, tapi jodoh hadir di depan mata.  Ada yang bercinta bertahun lamanya, tetapi jodoh tiada.  Ada yang berkenalan tiga bulan sahaja, terus menikah, mengecap bahagia.

BACA:  Keistimewaan Surah Sajadah. Rugi Jika Tidak Beramal Dengannya Kerana Sungguh Banyak Keistimewaannya

Kepada yang telah bertemu jodoh, semoga kekal hingga ke Jannah.  Kepada yang belum bertemu jodoh, terpulang pada diri masing-masing.  Jika anda pasrah dan berserah, Alhamdulillah.  Namun, jika anda masih mengharapkan adanya pasangan untuk melengkapi hidup anda, teruskan usaha.  Jika penat berusaha sendiri, kembalikan fungsi wali untuk mencarikan bakal isteri atau suami.

Kadangkala ibu bapa sendiri tidak tahu tentang peranan mereka dalam hal ini lantas mengambil sikap berdiam diri, melihat dan menanti.  Apabila anak mereka memasuki usia 30-an, mereka masih memerhati.  Mereka biarkan anak sibuk mengejar kerjaya, mengumpul harta dan menikmati kehidupan dengan penuh percaya bahawa anak mereka baik-baik sahaja walaupun belum berumahtangga.

Apabila ibu bapa tidak berkata apa-apa, anak-anak beranggapan bahawa mendirikan rumah tangga bukanlah sesuatu yang utama.  Justeru, orang lain tidak perlu sibuk-sibuk bertanya bilakah hari bahagia kerana ibu bapanya sendiri tidak pernah mempersoalkannya.

Sesungguhnya, berkahwin itu ialah sunah Rasulullah SAW.  Baginda bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang mampu (mempunyai kelebihan) untuk berkahwin, tetapi dia tidak berkahwin, maka bukanlah dia dari golonganku.” (HR At-Thabarani dan Baihaqi)

Maka, seandainya sukar bertemu jodoh, kembalikanlah fungsi wali dan para wali laksanakanlah tanggunjawab ini sebaik mungkin demi kelangsungan zuriat dan keturunan.

Sebenarnya, dalam masyarakat kita, ada satu lagi ruang untuk mendapatkan bantuan mencari jodoh.  Apabila keluarga besar berkumpul untuk kenduri-kendara atau perayaan, akan sentiasa ada makcik-makcik yang suka bertanya, “Eh, engkau ni bila lagi nak kahwin?”  Makcik-makcik seperti ini wujud dalam semua masyarakat yang masih percaya kepada institusi perkahwinan.  Keadaan ini merupakan satu kawalan sosial untuk memastikan kelangsungan keluarga dan keturunan kita yang hanya boleh berlaku melalui perkahwinan.

BACA:  Ketahui Bahaya Tidur Dalam Kereta Dan Bagaimana Gas Karbon Monoksida Boleh Membunuh

Malangnya, kehadiran makcik-makcik seperti ini dianggap menyusahkan, mengganggu emosi dan menimbulkan stress sedangkan niat mereka baik, mengajak orang muda “mendirikan masjid”, hidup mengikut sunah dan seumpamanya.  Kehadiran makcik-makcik seperti ini sering disalahertikan sehingga ada media yang membuat liputan tentangnya pada musim perayaan mengingatkan agar makcik-makcik ini berhenti bertanyakan soalan tersebut.  Malah, ada yang memberi tips agar soalan itu dijawab dengan sinis, “Boleh saya menumpang kasih dengan suami makcik?”  sedangkan, keprihatinan makcik-makcik itu boleh sahaja dibalas dengan berkata, “Boleh makcik tolong carikan jodoh yang baik untuk saya?”

Namun pada akhirnya kita perlu percaya kepada qada dan qadar.  Sebagai hamba, ada jodoh atau tidak, kita perlu reda dengan ketentuan-Nya.  Apapun ketentuan-Nya, itulah yang terbaik untuk kita kerana terkandung di dalamnya hikmah yang tidak dapat kita fahami.

Sebagai agama yang syumul, Islam menyediakan panduan untuk pelbagai perkara termasuklah dalam hal mencari jodoh.  Selain menyenaraikan kriteria pemilihan jodoh, Islam juga menekankan peranan wali dalam hal ini.    Semua ahli keluarga—ayah, ibu dan anak-anak, perlu memahami persoalan tentang pemilihan jodoh dalam Islam supaya semua pihak boleh menjalankan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.